Kuasa berbelanja, sentimen pengguna lemah jadi faktor hasil Nestle susut kepada RM1.5 bilion pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Kuasa berbelanja, sentimen pengguna lemah jadi faktor hasil Nestle susut kepada RM1.5 bilion pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kuasa berbelanja serta sentimen pengguna yang lemah menjadi faktor utama kepada penyusutan hasil Nestle (Malaysia) Bhd pada 2QFY24.

 

TA Securities berkata, hasil kumpulan itu pada 2QFY24 susut 13% kepada RM1.5 bilion didorong penurunan 16% dalam jualan domestik, yang jatuh kepada RM1.2 bilion.

 

Katanya, jualan eksport, bagaimanapun, kekal tidak berubah pada RM325 juta, mencerminkan sedikit peningkatan sebanyak 0.4%.

 

"Memandang ke hadapan, jualan eksport dijangka meningkat secara beransur-ansur, didorong peningkatan permintaan daripada pasaran antarabangsa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengguna beralih kepada jenama lain, Nestle diramal terus berdepan persekitaran mencabar pada 2HFY24

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin keuntungan kasar kumpulan itu susut sebanyak 29.1% pada 2QFY24 disebabkan jualan yang lebih rendah serta kenaikan harga komoditi, terutamanya kopi, koko dan oat.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan percaya bahawa kesan kenaikan harga bahan mentah pada masa ini boleh diuruskan berikutan dasar lindung nilai yang dilaksanakan.

 

Katanya, sekiranya kos bahan mentah terus berubah-ubah, kumpulan itu akan melaksanakan langkah proaktif yang diperlukan bagi  mengurangkan kesannya.

 

"Walaupun hasil kasar kumpulan pada 2QFY24 lebih lemah berbanding 1HFY23, margin untung kasar untuk 1HFY24 kekal kukuh pada 31.4%," katanya.

 

Sementara itu, Nestle akan meneruskan inisiatif amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)  termasuk menggunakan kenderaan elektrik (EV) mengangkut bahan-bahan dari kemudahan Jurongnya di Singapura ke Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada ekosistem pengeluaran Milo.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) yang disemak semula sebanyak RM124.22 sesaham.- DagangNews.com