Kuiz Pelaburan PNB tawar hadiah RM68,500 | DagangNews Skip to main content

Kuiz Pelaburan PNB tawar hadiah RM68,500

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) tampil lagi dengan pertandingan kuiz tahunannya, Kuiz Pelaburan PNB 2021 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM68,500.

 

Tempoh kuiz bagi Kategori Remaja berumur 13 hingga 17 tahun ialah mulai 9 hingga 22 Ogos, manakala penyertaan untuk Kategori Umum bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas, akan bermula dari 16 hingga 31 Ogos 2021.

 

Penyertaan kuiz itu adalah secara dalam talian di laman web ASNB (www.asnb.com.my) dan semua maklumat, soalan serta artikel berkaitan Kuiz Pelaburan PNB juga akan dimuat naik di laman web berkenaan.

 

Semua soalan Kuiz Pelaburan PNB akan disiarkan selama lima hari berturut-turut di akhbar Berita Harian dan Sinar Harian, yang mana bagi Kategori Remaja, tarikh terbitan ialah dari 9 hingga 13 Ogos manakala untuk Kategori Umum, tarikh terbitan ialah pada 16 hingga 20 Ogos 2021.

 

Peserta disarankan untuk merujuk artikel yang diterbitkan kedua-dua akhbar berkenaan sepanjang lima hari untuk mendapatkan panduan bagi menjawab soalan kuiz.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, kuiz yang bertemakan 'Capai Kemerdekaan Kewangan' sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia itu mengemukakan soalan berkaitan pelaburan dan pengurusan kewangan.

 

"Konsep soalan tahun ini adalah berbeza berbanding tahun lalu dan boleh dikatakan lebih mencabar kerana peserta hanya diberikan petunjuk dan bayangan jawapan, bukannya soalan objektif dengan pilihan jawapan a, b atau c.

 

"Setiap tahun, kami berusaha meningkatkan cabaran dengan mempelbagaikan konsep soalan supaya Kuiz Pelaburan PNB kekal sebagai antara medium yang mampu menarik minat orang ramai untuk mendalami ilmu pelaburan dan pengurusan kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

Mohammad Hussin
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin

 

 

Mohammad berkata, penganjuran Kuiz Pelaburan PNB pada tahun ini adalah penganjuran kali ke-21.

 

Beliau berkata, sebelum ini, Kuiz Pelaburan PNB dianjurkan secara bersemuka, yang mana peserta bertanding di pentas secara bersemuka, namun sejak tahun lalu kuiz itu telah dianjurkan sepenuhnya secara dalam talian sesuai dengan norma baharu berikutan pandemik COVID-19.

 

"Kami dapati kaedah penyertaan dalam talian memberi peluang kepada penyertaan yang lebih meluas daripada orang ramai yang mana pada 2020, sejumlah 173,980 penyertaan diterima, meningkat 120 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

 

Kuiz Pelaburan PNB yang dianjurkan sejak 2001 setakat ini telah menarik hampir 800,000 penyertaan.

 

Penganjuran kuiz itu adalah antara usaha berterusan ASNB dan PNB di bawah teras Literasi Kewangan dalam menyampaikan

 

ilmu pelaburan dan pendidikan kewangan kepada orang ramai menerusi kaedah yang lebih menarik.

 

Keputusan Kuiz Pelaburan PNB bagi kedua-dua kategori adalah berdasarkan semua jawapan yang betul. Sistem yang telah dibangunkan oleh ASNB akan memilih pemenang secara rawak.

 

Penyertaan adalah tidak terhad, namun setiap peserta hanya layak untuk memenangi satu hadiah saja.

 

ASNB adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dengan 33 pejabat cawangan dan lebih 2,700 cawangan ejen seluruh negara. Ia kini mengurus 15 tabung unit amanah dengan unit dalam edaran (UIC) melebihi 269.6 bilion dan 14.7 juta akaun. - DagangNews.com