Kumpulan NAZA tamatkan hubungan dengan Ferrari mulai April 2023 | DagangNews Skip to main content

Kumpulan NAZA tamatkan hubungan dengan Ferrari mulai April 2023

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kumpulan NAZA mengumumkan penamatan hubungan sebagai wakil penjual kereta mewah Ferrari di Malaysia, berkuatkuasa April ini, sekaligus menandakan berakhirnya hubungan 15 tahun kedua-dua entiti.

 

"Kumpulan Naza telah mengkaji semula bisnes automotif kami termasuk mengenal pasti jenama yang bersesuaian bagi memantapkan bisnes automotif NAZA.

 

"Sehubungan itu, kami telah mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan perniagaan dengan Ferrari S.p.A (Ferrari), memandangkan ketidakserasian strategi NAZA berbanding kehendak bisnes Ferrari," menurut NAZA Automotive Group dalam satu kenyataan.

 

Keputusan ini tepat pada waktunya dan membuka ruang untuk NAZA memberi tumpuan kepada jenama lain di bawah bisnes automotif.

 

Langkah ini bakal membolehkan NAZA memperuntukkan sumber perniagaan kepada jenama lain yang telah dikenal pasti dalam strategi bisnes automotif NAZA.

 

NAZA akan terus memberi sokongan kepada Ferrari untuk memudahkan segala proses peralihan menjelang April 2023.

 

"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Ferrari atas hubungan perniagaan yang sekian lama terjalin. Semoga jenama Ferrari terus mencapai kejayaan," kata NAZA Automotive Group.

 

Sementara itu, Ferrari S.P.A., melalui anak syarikat Ferrari Far East Pte Ltd, mengesahkan penamatan tersebut berkuatkuasa 8 April 2023.

 

"Sepanjang tempoh penyerahan ini, Ferrari S.P.A. akan menubuhkan satu titik hubungan untuk jualan dan khidmat selepas jualan untuk pelanggan kami sehingga kami mengesahkan rakan kongsi baru kami," tambah Ferrari, mungkin menunjukkan mereka sedang memilih pengimport baru dan peruncit. - DagangNews.com