KUALA LUMPUR 8 Mac - Kwasa Land Sdn. Bhd. bekerjasama dengan anak syarikat EXSIM, EXSIM MX4 Sdn. Bhd. bagi pembangunan bercampur baharu melibatkan pembinaan pangsapuri di atas tanah seluas 6.4 hektar di Kwasa Damansara.
Terletak di plot yang dikenali sebagai MX-4(ii), pembangunan itu akan menampilkan lima pangsapuri dengan setiap blok akan menampilkan reka bentuk khusus dan ciri binaan bagi melengkapkan pembangunan keseluruhan.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kira-kira RM1.6 bilion, projek itu yang dijangka menyediakan kediaman untuk lebih 10,000 orang dan akan dibangunkan secara berperingkat dengan fasa pertama dijangka siap pada 2027.
Dibangunkan dalam persekitaran hijau yang kondusif, pangsapuri itu menawarkan kemudahan seperti rumah kelab khusus, kolam renang, taman berlandskap serta unit komersial.
Projek itu terletak berhampiran dengan pusat komersial masa depan, tawaran runcit dan tempat makan, serta dua stesen MRT yang bersambung terus ke laluan Putrajaya dan Kajang.
Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Adenan Md. Yusof berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan EXSIM dalam pembangunan bercampur baharu yang benar-benar merangkumi intipati perbandaran iaitu hijau, terhubung dan inklusif.
Katanya, ia akan dibangunkan dengan kawasan hijau di sekeliling, ketersambungan yang hebat kepada rangkaian pengangkutan dan juga direka bentuk dengan mengambil kira unit keluarga bagi memenuhi keperluan gaya hidup hari ini.
"Antara komponen penting ialah penyediaan kediaman mampu milik yang mencerminkan falsafah kami untuk keterangkuman dan komitmen kami terhadap rangka kerja Malaysia Madani kerajaan yang meletakkan kesejahteraan rakyat di hadapan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan EXSIM, Lim Aik Hoe berkata, pihaknya bersemangat untuk menyediakan kediaman berkualiti yang menggabungkan bentuk dan fungsi terbaik, dipandu oleh inisiatif penyelidikan dan pembangunan yang meluas serta inovasi.
"Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, kami terus meningkatkan kebijaksanaan kami untuk memastikan projek kami yang difikirkan dengan baik akan cemerlang dan pada masa yang sama, mengekalkan alam sekitar.
"Dengan komitmen kami terhadap nilai-nilai ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), kami teruja untuk menjadi rakan kongsi pembangunan kepada Kwasa Land ketika kami memulakan pembangunan kediaman yang dinamik dan ke hadapan di Kwasa Damansara," katanya. - DagangNews.com