Labur baki perbelanjaan dalam ASNB menerusi Raiz | DagangNews Skip to main content

Labur baki perbelanjaan dalam ASNB menerusi Raiz

raiz

KUALA LUMPUR 23 Julai - Seiring transformasi digital, Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan aplikasi mudah alih pelaburan mikro yang berinovatif, Raiz.

Raiz menyediakan platform pelaburan yang mudah bagi pemegang unit untuk menyimpan dan melabur dalam dana  unit amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Pada peringkat awal, platform Raiz hanya tersedia secara eksklusif untuk pemegang akaun Maybank.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkongsi penubuhan Raiz di Malaysia yang dimulakan oleh bakat muda PNB, Aidi Izham Mohd Khalil yang kini merupakan Ketua Eksekutif Raiz Malaysia Sdn. Bhd., mengemukakan ideanya di Cabaran Inovasi tahunan perbadanan itu. 

zeti aziz
Zeti Akhtar Aziz

 

“Dengan pelancaran aplikasi Raiz ini dan memandangkan lebih 90% rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar , ini bermakna hampir semua orang boleh mula melabur dengan mudah melalui kaedah ini,” beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran maya Raiz di aplikasi Youtube PNB.

Turut serta, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Raiz Invest Australia Ltd. (Raiz Invest), George Simon Lucas.

Raiz dibangunkan oleh Raiz Malaysia Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat PNB, Jewel Digital Ventures Sdn. Bhd. (JDV) dan Raiz Invest.

Raiz memanfaatkan duit baki secara maya daripada pembelian harian pengguna untuk melabur dalam dana harga berubah ASNB berdasarkan portfolio pelaburan peribadi masing-masing. 

raiz

Pengguna dapat memanfaatkan sepenuhnya setiap sen yang dibelanjakan dan bakinya boleh disimpan dan dilabur. 

Pemegang unit boleh memuat turun aplikasi mudah alih Raiz secara percuma dan memautkan kepada kad debit Maybank mereka. 

Mereka kemudiannya boleh memberi kebenaran kepada Raiz untuk membundarkan setiap baki pembelian harian menggunakan kad bagi tujuan pelaburan.

zulqarnain
Ahmad Zulqarnain Onn

 

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain berkata, Raiz yang telah dilancarkan pada 1 Jun lalu kini telah meraih 15,000 ahli.

“Dengan penawaran nilai digitalnya, kami melihat potensi untuk Raiz menjadi pembuka laluan kepada mereka yang ingin mula melabur. 

“Idea ini bersesuaian dengan usaha berterusan PNB dalam memperkasa dan menggalakkan warga Malaysia untuk mengamalkan perancangan kewangan yang lebih berhemah,” tambah beliau. - DagangNews.com