Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Syarikat pemaju bersepadu, Lagenda Properties Berhad dengan kerjasama syarikat tenaga, Solarvest Holdings Berhad bakal membangunkan sebuah perbandaran dengan sistem solar fotovoltan (PV) dan mampu milik terbesar di Malaysia.
Sebagai permulaan, Solarvest akan memasang 1,000 sistem solar PV kediaman di seluruh tiga projek perbandaran yang dibangunkan oleh Lagenda Properties di Perak.
Menurut Lagenda Properties, kesemua pembangunan perumahan yang dilengkapi sistem solar itu adalah sejajar dengan program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini.
Penggunaan sistem solar PV itu dijangka menjana tenaga sehingga 98% daripada penggunaan elektrik bulanan.
Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh Jee Ming berkata, perbandaran mampan yang direka itu akan disasarkan untuk golongan B40 dan M40.
“Kami akan terus menerapkan elemen yang dapat menambah baik kualiti kehidupan mereka pada kadar mampu milik. Kami telah menyaksikan banyak isi rumah yang berdepan cabaran peningkatan bil elektrik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini mendorong kami untuk mencari penyelesaian alternatif.
“Panel solar mempunyai keupayaan untuk mengurangkan suhu rumah dan menjana elektrik sepanjang tahun. Menerusi kerjasama dengan Solarvest, ia membolehkan kami untuk memanfaatkan skala ekonomi untuk menghasilkan nilai terbaik buat pembeli rumah.
“Dengan penjimatan daripada bil utiliti bagi jangka masa panjang, pembeli rumah Lagenda Properties akan menikmati kos sara hidup yang lebih rendah, sebagai tambahan kepada projek kami yang menarik dan mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan.
Memandangkan tenaga solar kian menerima sambutan menggalakkan di Malaysia, permintaan kediaman yang dilengkapi sistem tersebut juga meningkat ekoran lebih ramai rakyat yang bekerja dari rumah.
Setelah projek itu siap, ketiga-tiga perbandaran berkenaan berpotensi menghasilkan kira-kira 2.8GWh tenaga elektrik bersih yang akan meneutralkan 1,950 tan pelepasan karbon setiap tahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, kerjasama dengan Lagenda Properties itu membuka laluan untuk penembusan mereka ke pasaran hartanah.
“Ini juga merupakan projek solar perumahan tunggal terbesar setakat ini, dan menjadikannya lebih bermakna buat kami.
“Menerusi projek ini, kami akan menyediakan komuniti tempatan dengan akses langsung kepada tenaga hijau dan dalam masa sama membolehkan mereka mengambil bahagian dalam gerakan sifar bersih dari rumah mereka.
“Kami menyasarkan untuk menggunakan perkongsian yang sama dengan lebih banyak pemaju hartanah lain di rantau ini dalam mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang menyeluruh buat komuniti di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com