Lambat terima helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk, operasi PUTD tempang tanpa helikopter pengangkut | DagangNews Skip to main content

Lambat terima helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk, operasi PUTD tempang tanpa helikopter pengangkut

Helikopter Black Hawk milik AS semasa beraksi dalam Eksesais Keris Strike di Sabah.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Isu kelewatan penghantaran helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk secara sewaan yang sepatutnya diterima Tentera Darat mungkin mengambil lebih masa untuk diselesaikan.

 

Dalam perkembangan terbaru, konflik di Ukraine dikatakan antara punca kelewatan penghantaran helikopter tersebut ke Malaysia.

 

Ini yang dinyatakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari semasa di Dewan Rakyat berhubung kelewatan tersebut.

 

 

Katanya, pihak syarikat telah memaklumkan bahawa terdapat beberapa kekangan dalam membuat penghantaran.

 

Kapal
Helikopter Nuri merupakan kuda udara terbaik sepanjang dioperasikan pihak tentera.

 

Antara justifikasi diberikan adalah gangguan rantaian bekalan disebabkan konflik di Ukraine.

 

Punca lain ialah proses kelulusan kawal selia yang ketat oleh negara pengeluar asal helikopter, Amerika Syarikat (AS) bagi pemodenan spesifikasi teknikal dan integrasi sistem avionik ke atas pesawat Black Hawk UH-60A.

 

Difahamkan program kerja dan jangkaan penghantaran helikopter Black Hawk ke Malaysia telah disemak semula dan diperbaharui oleh pihak Slovak Training Academy, SRO dan semua yang terlibat.

 

Denda lewat juga akan dikenakan terhadap syarikat yang diberikan kontrak iaitu Aero Tree Defence and Services Sdn. Bhd. yang mana ini amalan biasa dalam syarat yang ditetapkan dalam tender kerajaan.

 

Justeru, berdasarkan perkembangan terkini bermakna helikopter Black Hawk tidak dapat diterima dalam masa terdekat.

 

Kapal
Operasi seperti penghantaran anggota ke barisan hadapan lebih pantas menggunakan helikopter.

 

Kapal
Khidmat TUDM terpaksa ditagih bagi membantu operasi Tentera Darat.

 

Kerajaan tahun lalu bersetuju untuk menyewa 4 buah helikopter Black Hawk bagi kegunaan PUTD sebagai langkah sementara sebelum Mindef membuat pembelian baharu.

 

Tempoh sewaan dijangka sehingga 5 tahun iaitu jangkamasa yang relevan sekiranya menunggu proses membeli helikopter baharu.

 

Kesemua helikopter Black Hawk sepatutnya telah diterima secara berperingkat-peringkat pada 30 Oktober 2023 dan 30 Disember 2023. 

 

Tarikh itu kemudian dilanjutkan pada awal tahun ini sebelum dimaklumkan pada April dan Mei sehinggalah kelewatan penghantaran dibangkitkan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

 

Kapal
Helikopter Agusta 109LOH.

 

Tegas belia, Tentera Darat amat memerlukan keupayaan aset itu bagi melancarkan tugas operasi serta latihan anggota, namun pihak kontraktor masih gagal memenuhi janji yang telah dimeterai.

 

Persoalan di sini ialah apakah langkah yang sepatutnya diambil oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) sebagai tindakan segera untuk mengatasi isu kelewatan penghantaran?

 

Adakah Mindef akan terus menanti ketibaan helikopter Black Hawk ini, mungkin tiga bulan lagi atau diterima pada penghujung tahun?

 

Setelah ketiadaan helikopter Sikorsky Nuri, Pasukan Udara Tentera Darat tidak mempunyai aset untuk pengangkutan udara dan logistik, malah terpaksa bergantung pada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Dua aset lain PUTD iaitu helikopter Agusta 109LOH dan helikopter tempur ringan MD530G, kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza.

 

Kapal

 

Helikopter Agusta 109LOH walaupun boleh membawa anggota dan keperluan logistik tetapi saiznya kecil selain bukan dibina untuk tugasan pengangkutan serbaguna, berbeza dengan Nuri atau Black Hawk.

 

Pada Jun lalu, sebuah helikopter Agusta L109H mendarat cemas di Landasan Terbang Kluang, Kem Mahkota Kluang, Johor semasa sesi latihan penerbangan malam.

 

Insiden ini menyebabkan Mindef mengambil tindakan henti terbang sementara helikopter berkenaan.

 

Situasi tanpa helikopter pengangkut pastinya memberi kesukaran kepada Tentera Darat khususnya PUTD apabila tidak dapat melaksanakan fungsinya sebagai kor udara.

 

Seandainya penghantaran helikopter tersebut lewat lagi, apakah Mindef ada pelan kontigensi lain? - DagangNews.com