Langkah bijak ambil alih ekuiti RAM Holdings, unjuran untung bersih CTOS Digital dinaikkan 2% | DagangNews Skip to main content

Langkah bijak ambil alih ekuiti RAM Holdings, unjuran untung bersih CTOS Digital dinaikkan 2%

CTOS Digital Berhad

KUALA LUMPUR 30 Julai - Keputusan syarikat peneraju penarafan kredit terkemuka, CTOS Digital Berhad yang mengambil alih ekuiti RAM Holdings Berhad (RAM) adalah satu keputusan dan langkah bijak.

 

UOB Kay Hian Research berkata, pengambilalihan itu memberi peluang kepada CTOS untuk tampil sebagai platfrom multinasional yang kukuh dengan kelebihan analisis data yang komprehensif.

 

Unjuran keuntungan bersih CTOS bagi tahun kewangan 2021 hingga 2022 turut dinaikkan sebanyak 2% susulan pengambilalihan tersebut.

 

Menurut nota kajian itu, kerjasama yang padu dalam aspek penawaran produk dan pelanggan antara CTOS dan RAM dipercayai mampu membawa kedua-dua syarikat berkenaan lebih maju ke hadapan.

 

Semalam, CTOS membuat pengambilalihan ekuiti pertama selepas tersenarai di Bursa Malaysia pada 19 Julai baru-baru ini.

 

Pengambilalihan dibuat dengan menandatangani perjanjian pembelian saham melalui CIMB Bank Bhd untuk memperoleh 462,500 saham biasa dalam syarikat RAM.

 

Keseluruhan pembelian saham yang bernilai RM10.05 juta itu mewakili 4.625% daripada jumlah modal saham berbayar RAM.

 

Baca: Selepas tersenarai di Bursa Malaysia, CTOS Digital beli kepentingan RAM Holdings

 

Mengulas berkaitan harga pengambilalihan itu, UOB Kay Hian Research menyifatkan harga tersebut adalah wajar.

 

"RAM menjana perolehan RM40 juta di samping keuntungan bersih RM8.4 juta pada 2020. RAM juga mempunyai jumlah aset RM188 juta dan aset bersih RM167.2 juta.

 

"Harga pengambilalihan RM10.1 juta itu melibatkan kira-kira 25.9 kali PE (price-to-earnings ratio) bagi tahun kewangan 2020, berkurang 34.3 kali PE berbanding agensi penarafan kredit lain di seluruh dunia," jelas UOB Kay Hian Research seperti dilapor focusmalaysia.my.

 

Dalam nota kajian sama, UOB Kay Hian Research mengambil pendekatan menurunkan penarafan saham CTOS kepada 'pegang' berbanding 'beli' pada sebelumnya.

 

Keputusan itu dibuat setelah menilai kepada prestasi harga saham syarikat yang mengagumkan.

 

Dalam pada itu,  UOB Kay Hian Research membuat semakan semula terhadap harga sasaran sesaham (TP) CTOS kepada RM1.34 berbanding RM1.32 pada sebelumnya. - DagangNews.com