Lanjutan moratorium, bantuan bank bersasar diumum hari ini | DagangNews Skip to main content

Lanjutan moratorium, bantuan bank bersasar diumum hari ini

PERDANA MENTERI

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 29 Julai - Tempoh lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pengumuman itu dijangka akan berlangsung pada pukul 3.00 petang dan akan disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA, TV3 dan Astro Awani.

Moratorium adalah salah satu inisiatif dalam 80 langkah yang diperkenalkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta bank-bank tempatan lain bagi membantu individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengurangkan beban aliran tunai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Moratorium dijalankan selama enam bulan bermula April lalu dan dijangka tamat pada September 2020.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu, bantuan bank bersasar turut dipertimbangkan kepada golongan yang masih tidak mampu membuat bayaran pinjaman ekoran kehilangan pekerjaan atau disebabkan oleh sektor ekonomi yang terjejas. - DagangNews.com