Lapangan Terbang Antarabangsa Senai terima penerbangan antarabangsa pertama dari Guangzhou | DagangNews Skip to main content

Lapangan Terbang Antarabangsa Senai terima penerbangan antarabangsa pertama dari Guangzhou

Kennedy Ayu (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Kebudayaan Negeri Johor, K. Raven Kumar menyambut ketibaan penumpang dari Guangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hari ini menyambung kembali rangkaian antarabangsanya dengan menerima penerbangan pertama dari Guangzhou, China.

 

Penerbangan menggunakan pesawat AirAsia itu tiba pada pukul 6.55 pagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd., Kennedy Ayu berkata, ia adalah penyambungan semula penerbangan antarabangsa pertama mereka dan pihaknya berbesar hati untuk menyambut 110 penumpang AK1395 ke Johor Bahru.

 

"Dalam kalangan penumpang dari tanah besar China, Johor terkenal dengan aktiviti riadah dan perniagaan dan penyambungan semula perkhidmatan ini akan memberi peluang menarik kepada kedua-dua destinasi itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Penerbangan tiga kali seminggu antara Johor Bahru dan Guangzhou adalah selaras dengan strategi AirAsia dalam mewujudkan semula perkhidmatan antarabangsanya ke China dari hab lain di Malaysia, berikutan penyambungan semula perkhidmatan dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macau, Shenzhen dan Kunming baru-baru ini .

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, pihaknya berbangga menjadi syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Johor Bahru ke destinasi antarabangsa selepas wabak dan akan terus mengembangkan rangkaian mereka ke China sebagai memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

 

senai

 

Katanya, sejak memulakan semula operasi dari China bulan lepas, AirAsia telah menerbangkan hampir 10,000 pelawat China ke Malaysia, sekali lagi mengesahkan bahawa Malaysia adalah destinasi utama bagi pengembara China.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk mengembalikan perkhidmatan kami ke tahap pra-pandemik, yang seterusnya akan menyokong sektor pelancongan dan ekonomi tempatan secara keseluruhan," katanya.

 

Selaras dengan penyambungan semula perkhidmatan, AirAsia menawarkan diskaun 20% untuk penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou serta ke Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching dan Kota Bharu.

 

Tambang promosi tersedia untuk tempahan dari sekarang hingga 2 April 2023 untuk tempoh perjalanan antara 10 April 2023 dan 14 Disember 2023 di AirAsia SuperApp atau airasia.com. - DagangNews.com