LBS Bina catat jualan rumah RM1.60 bilion, capai sasaran 2022 lebih awal | DagangNews Skip to main content

LBS Bina catat jualan rumah RM1.60 bilion, capai sasaran 2022 lebih awal

KUALA LUMPUR 18 Okt - LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan nilai jualan RM1.604 bilion dengan sejumlah 3,886 unit dijual, sekali gus mencapai sasaran jualan tahun kewangan 2022 sebelum tamat suku tahun terakhir.

 

Prestasi jualan yang memberangsangkan pada 2022 juga menyaksikan pertumbuhan tahunan sebanyak 85.8% pada 15 Oktober 2021 sebanyak RM863 juta dengan Lembah Klang menunjukkan kadar pengambilan yang membanggakan, menyumbang 89% daripada jumlah jualan.

 

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, dengan berakhirnya pengecualian duti setem pada penghujung 2021, syarikat menjangkakan penurunan jualan tetapi berpuas hati kerana kumpulan itu terus menerima kadar pengambilan yang menggalakkan.

 

Beliau berkata, langkah kerajaan meningkatkan nilai pengecualian duti setem wajar dipuji kerana nilai hartanah LBS berada dalam lingkungan RM500,000, dan ia dapat memberikan penjimatan yang bermula daripada RM21,000 bagi pembeli rumah kali pertama.

 

"Penggunaan kaedah digital telah menjadi kebiasaan dalam trend membeli rumah pada hari ini. Proses pencarian rumah yang betul boleh menjadi suatu proses membebankan. Matlamat kami dalam kaedah pendigitalan adalah untuk membantu melancarkan proses menyediakan sistem robotik dan automasi bermula daripada proses pembinaan sehinggalah kepada pengambilan kunci.

 

"Pembeli rumah juga boleh melihat proses pembinaan secara berkala dengan rakaman dron, laman web yang menyeluruh di mana bakal pembeli akan dapat melihat contoh rumah melalui rumah pameran maya, menjawab pertanyaan melalui meja bantuan dan membuat tempahan dalam talian, dan keseluruhan proses ini dilakukan di hujung jari sahaja.

 

"Oleh yang demikian, LBS optimis untuk mengekalkan momentum sehingga akhir tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Di sebalik masalah kekurangan tenaga kerja yang melanda negara, kenaikan harga bahan, dan pemulihan ekonomi negara dalam fasa endemik yang terbukti memberikan cabaran kepada pemaju perumahan di Malaysia, terutamanya bagi segmen hartanah rumah mampu milik, LBS berupaya menghadapinya malah berjaya mengatasi sasaran jualan tahun sebelumnya sebanyak hampir dua kali ganda.

 

Sebahagian daripada kejayaan itu disumbang oleh teknologi Sistem Binaan Berindustri Pratuang (IBS) milik anak syarikatnya, MGB Berhad yang membantu mempercepatkan proses pembinaan, mengurangkan kos operasi, tanpa menjejaskan kualiti binaan.

 

LBS turut melaporkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang menyumbang lebih daripada 84% daripada hasil enam bulan pertama tahun kewangan 2022.

 

Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, LBS menyaksikan pendapatannya meningkat sebanyak 54% tahun ke tahun kepada RM410.4 juta manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 2.25 sen daripada 1.04 sen berbanding tahun sebelumnya.

 

Pada 30 Jun 2022, hasil keuntungan syarikat dalam tempoh enam bulan meningkat sebanyak 23% tahun ke tahun kepada RM819.4 juta manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 3.70 sen berbanding 2.37 sen pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com