LBS meterai perjanjian pemindahan ekuiti RM124.7 juta dengan firma Hong Kong, Huafa Urban | DagangNews Skip to main content

LBS meterai perjanjian pemindahan ekuiti RM124.7 juta dengan firma Hong Kong, Huafa Urban

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Jun - LBS Bina Group Bhd menerusi Dragon Hill Corporation Limited memeterai perjanjian pemindahan ekuiti dengan Huafa Urban Operation (HK) Limited bagi melupuskan pegangan ekuiti Dragon Hill dalam Lamdeal Investment Limited (LIL) bernilai RM124.7 juta. 

 

Kumpulan itu pada masa sama turut memeterai perjanjian pembayaran balik hutang milik LIL dan anak syarikatnya kepada LBS dan anak syarikatnya bernilai RM147.8 juta.

 

Katanya, Dragon Hill bersetuju melepaskan 100% pegangannya dalam LIL pada harga RM124.7 juta manakala Huafa Urban perlu melunaskan pinjaman tertunggak LIL kepada LBS dan anak syarikatnya berjumlah RM148.8 juta selepas penyelesaian cadangan pelupusan dan penyerahan hak pengurusan Zhuhai International Circuit Limited yang memegang 60% ekuiti dalam LIL. 

 

"Cadangan pelupusan itu akan menghasilkan keuntungan pro-forma atas pelupusan kira-kira RM80 juta, sekali gus menambah baik dalam aset bersih Kumpulan LBS kira-kira 10%.

 

"Cadangan pelupusan adalah selaras dengan strategi kumpulan mengekalkan nilai modal dan mengukuhkan kunci kira-kira yang kemudiannya boleh digunakan dalam projek dan pelaburan lain untuk memaksimumkan pulangan kumpulan dan/atau untuk pembayaran balik pinjaman," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan itu dijangka diiktiraf pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Cadangan itu juga akan meningkatkan aset bersih sesaham sebanyak 9 sen (10%) dan perolehan sesaham (EPS) sebanyak 5.17 sen (67%) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

"Cadangan itu akan mengurangkan nisbah penggearan daripada 0.42 kali kepada 0.38 kali," katanya.

 

Katanya, cadangan tersebut bagaimanapun tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham LBS. - DagangNews.com