Leaptech, Desan bekerjasama rancang pembangunan projek limbungan kapal bernilai RM2 bilion di Melaka | DagangNews Skip to main content

Leaptech, Desan bekerjasama rancang pembangunan projek limbungan kapal bernilai RM2 bilion di Melaka

Delegasi Leaptec diketuai Pengarah Urusan Kumpulan LBS dan Leaptec, Datuk Joey Lim Hock Guan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meninjau kawasan limbungan Desan.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - LBS Bina Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Leaptec Engineering Sdn Bhd, merancang untuk menjalankan projek limbungan kapal yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion di Tanjung Bruas, Melaka.

 

Leaptec menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Desan Deniz Ins. San. A.S mengenai projek berpotensi hari ini.

 

Di bawah MOU itu, kedua-dua pihak akan meneroka potensi membangunkan perniagaan limbungan kapal bagi pembaikan serta pembinaan kapal dan sekiranya menjadi realiti, projek itu akan dilaksanakan dalam tiga masa dengan nilai lebih RM2 bilion.

 

"Kedua-dua syarikat, Leaptec dan Desan juga akan meneroka antara lain, sokongan pihak berkuasa yang berkaitan, subsidi dan kewangan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MoU itu berkuat kuasa mulai 13 April 2023 selama 12 bulan melainkan diperbaharui dengan persetujuan bersama pihak-pihak atau apabila kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad.

 

kapal
LBS Bina Group Berhad menerusi Leaptec Engineering Sdn Bhd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Desan Deniz Ins. San. A.S mengenai projek yang berpotensi.

 

Majlis menandatangani MOU itu berlangsung di ibu pejabat Desan di Istanbul, Turki dengan Pengarah Urusan LBS dan Leaptec, Datuk Joey Lim Hock Guan mewakili Leaptec manakala Desan diwakili oleh Pengerusinya, Cenk İsmail Kaptanoglu.

 

Ia turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd. Anis Hisham Abd Aziz dan bekas Presiden BIMCO serta Ahli Lembaga Desan Shipyard, Dr. Sadan Kaptanoglu.

 

Ditubuhkan pada tahun 1970, Desan merupakan penyedia penyelesaian limbungan kapal terkemuka Turki yang terlibat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan limbungan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal, pembinaan kapal dan aktiviti berkaitan.

 

Di bawah kepimpinan semasa generasi ketiga keluarga perkapalan Kaptanoglu, Desan telah mengembangkan perniagaan pembaikan serta pembinaan kapalnya untuk meliputi perniagaan luar pesisir, kapal tentera laut, semua jenis kapal tangki, pengangkut pukal, bot tunda dan kapal layar.

 

Pada 2021, Leaptec menandatangani perjanjian tebus guna tanah dan pembangunan dengan kerajaan negeri Melaka untuk menebus dan membangunkan 485.62 hektar tanah yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka yang menjangkau 10,117.14 hektar di sepanjang pantai negeri itu.

 

Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Lim Hock San berkata, ia telah mempertimbangkan pelbagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam membangunkan projek penambakan tanah di Melaka.

 

"Kami berbesar hati untuk berhubung dengan Desan. Desan terkenal dalam pembinaan perniagaan limbungan, pembinaan kapal, pembaikan kapal, penyelenggaraan, pemodenan, penukaran dan pengubahsuaian untuk semua jenis kapal komersial dan tentera laut dan kami percaya bahawa perniagaan ini akan menjadi industri pertumbuhan yang sesuai untuk projek Melaka kami," katanya. - DagangNews.com