Lebih 100 alumni Kolej Pertanian Malaya tahun 1974 hadiri program perjumpaan anjuran ARCUPM | DagangNews Skip to main content

Lebih 100 alumni Kolej Pertanian Malaya tahun 1974 hadiri program perjumpaan anjuran ARCUPM

Alumni UPM bersama Pengarah ARCUPM semasa Sambutan Perayaan Jubli Emas Kolej Pertanian Malaya 1974
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Seramai 100 orang alumni Kolej Pertanian Malaya batch 1974 (KPM74) terlibat dalam Program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) yang dikendalikan Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM) sempena Sambutan Perayaan Jubli Emas Kolej Pertanian Malaya 1974, di Universiti Putra Malaysia (UPM). 

 

MEKAR yang kali ke-19 itu juga merupakan program hasil kerjasama dengan Persatuan Alumni UPM (PAUPM) yang bertujuan untuk menghimpun dan mengumpulkan kembali alumni-alumni UPM di luar untuk kembali ke alma mater. 

 

Menurut kenyataan hari ini, alumni daripada KPM 72 dan KPM 73 merupakan kumpulan dari Kolej Pertanian Malaya yang mengadakan penjumpaan semula dan sekaligus menyerahkan sumbangan mereka kepada Universiti terutamanya dalam usaha membantu para pelajar UPM yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan sebagainya. 

 

Pada pertemuan MEKAR 19, KPM 74 telah menyerahkan sumbangan berjumlah RM50.000 kepada Tabung Endowmen Sultan Idris Shah (TESIS), di mana dana itu akan disalurkan sebagai bantuan kewangan berbentuk biasiswa dan hadiah universiti kepada pelajar yang memerlukan dan juga pelajar cemerlang. 

 

Wakil kumpulan KPM 74, Zainal Abidin Yahya telah menyerahkan replika sumbangan kepada  Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad untuk disalurkan kepada pelajar UPM yang memerlukan pada majlis berkenaan. 

 

Menurut Zainal Abidin, dia mengharapkan lebih ramai lagi alumni UPM kembali berbakti kepada universiti kerana jasa baik yang dihargainya. 

 

Selain itu UPM menekankan semangat kebersamaan ditunjukkan oleh alumni KPM 74 itu menjadi simbolik yang menunjukkan bahawa peranan alumni sangat penting dalam bersama-sama memartabatkan institusi ilmu. 

 

Pada masa yang sama, ARCUPM yang diwakili oleh Pengarah, Prof. Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad dan Timbalan Pengarah, Dr. Mokrish Md Ajat, melihat kesudian para alumni UPM khususnya alumni KPM 74 meluangkan masa menjayakan program MEKAR mengukuhkan prinsip alumni dan Universiti berpisah tiada. 

 

Mereka yang juga merupakan alumni UPM turut menyeru kepada seluruh alumni UPM di luar sana untuk terus kembali ke alma mater terutamanya pada Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang@Homecoming kali -12 yang bakal diadakan pada 26 Oktober 2024 ini. 

 

MEKAR 19-Sambutan Jubli Emas KPM 74 telah berlangsung selama dua hari berturut iaitu pada 3 dan 4 Ogos 2024. 

 

Bermula dengan Perlawanan Golf Amal yang berlangsung di Kelab Golf Uniputra UPM dan berakhir dengan Majlis Hi-Tea yang diadakan di ruang legar Bangunan Naib Canselor (Inovasi dan Penyelidikan) UPM, pada 4 Ogos. 

 

Turut hadir di majlis itu ialah Presiden Persatuan Alumni UPM, Datuk Raihan Sharif dan Setiausaha Persatuan Alumni UPM, Dr. Ibrahim Mohamed.- DagangNews.com