Lebih 500 peserta dijangka sertai Pameran Perabot Antarabangsa 2023 | DagangNews Skip to main content

Lebih 500 peserta dijangka sertai Pameran Perabot Antarabangsa 2023

KUALA LUMPUR 3 Feb - Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2023 mendapat sambutan memberangsangkan kerana lebih daripada 500 peserta mengesahkan penyertaan pada pameran tersebut setakat ini.

 

Penganjur pameran perdagangan perabot perniagaan kepada perniagaan (B2B) terbesar di Asia Tenggara, Informa Markets dalam satu kenyataan berkata, permintaan meningkat untuk pameran yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 2023 itu telah menambahkan prospek lebih hampir kepada 600 peserta pameran.

 

"Ia telah menarik syarikat-syarikat besar industri tersebut dari Malaysia dan pengeluar Asia lain dari China, India, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam dan pavilion oleh Taiwan, Jepun dan Korea Selatan," katanya.

 

Selain itu, pembukaan semula pintu sempadan China akan membawa lebih 200 syarikat dari beberapa bandar dan penampilan pertama Furniture China @Malaysia Show di MIFF untuk edisi pertamanya di luar Shanghai.

 

Antara senarai syarikat Malaysia diterajui oleh pengeluar terbesar negara ialah Poh Huat, Ecomate, Favorite Design, SWS, Wegmans, Ivorie, Merryfair, Step Furniture, WA Furniture, Inception, dan Lifestyle International.

 

Selain itu, pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur dan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) telah menerima pendaftaran pembeli dari 116 negara dan rantau dan setakat ini semua berminat untuk berhubung semula dengan pembekal pada acara perabot di Asia itu.

 

miff

 

Informa Markets berkata, pembeli boleh membuat pra pendaftaran untuk kemasukan percuma sebelum 15 Februari 2023 dan memanfaatkan pemberian diskaun hotel kepada mereka yang mendaftar awal dengan melayari di www.miff.com.my. 

 

Sementara itu, Pengurus Besar MIFF, Kelie Lim berkata pameran perdagangan itu kini kembali kepada skala pra pandemik dan ia akan meningkatkan pertumbuhan industri dan perdagangan global.

 

“MIFF menawarkan pelbagai peluang yang luar biasa untuk pelanggan kami mengembangkan perniagaan mereka dan mendapat keterlihatan dalam kalangan pembeli di seluruh dunia.

 

"Kami mengalu-alukan pameran Furniture China dan jenama yang dibawanya untuk menambah nilai di lokasi pameran  dan meningkatkan pengalaman keseluruhan untuk pelanggan kami," katanya. - DagangNews.com