Lebih 5,000 rakyat hadir Majlis Bekwoh sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Lebih 5,000 rakyat hadir Majlis Bekwoh sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

KOTA BHARU 23 Julai - Lebih 5,000 rakyat Kelantan terutama dari sekitar Parlimen Ketereh menghadiri Majlis Bekwoh Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan 2022 yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Peringat, hari ini.

 

Majlis Bekwoh berkenaan menghidangkan lauk tradisi gulai kawah dengan menumbangkan tiga lembu pada petang semalam dan dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk awal pagi tadi.

 

Seorang penduduk, Saadi Deraman, 65, berkata, seramai 30 penduduk bergotong-royong memasak 11 gulai kawah seawal jam 7 pagi dan siap dimasak pada 10.30 pagi untuk dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

 

"Kami menyediakan makanan utama yang biasa didapati di majlis keraian iaitu daging gulai kawah, sambal belacan, acar timun dan tembikai," katanya, lapor Berita Harian.

 

Sementara itu, seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh Siti Mariam Sofiah Hanapi, 19, berkata, dia teruja apabila dapat bertemu pemimpin nombor satu negara itu secara lebih dekat.

 

"Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa Perdana Menteri.

 

pm

 

"Baguslah PM datang dan saya berharap kerajaan akan terus memerintah dengan bijaksana demi kebaikan bangsa dan negara," katanya.

 

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat beberapa reruai Jelajah AKM edisi keenam itu termasuk reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan.

 

Turut mengiringi beliau dalam lawatannya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa selaku penyelaras AKM Kelantan, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan.

 

Terdahulu Perdana Menteri merasmikan AKM Kelantan yang bermula semalam hingga esok.

 

Jelajah AKM Kelantan, yang bertemakan Keluarga Malaysia Keluarga Digital merupakan kesinambungan kepada penganjuran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia diadakan di 14 lokasi di seluruh negara dengan pengisian program berbentuk perkhidmatan kepada rakyat. - DagangNews.com