Lebih banyak insentif diperlukan untuk industri sekiranya Malaysia mahu pertahan status negara maritim | DagangNews Skip to main content

Lebih banyak insentif diperlukan untuk industri sekiranya Malaysia mahu pertahan status negara maritim

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 3 Mac – Hasrat Malaysia dalam memperkukuh posisinya sebagai negara maritim hanya boleh dicapai sekiranya terdapat lebih banyak usaha yang ditujukan khas kepada industri tersebut termasuklah insentif langsung seperti pengurangan cukai untuk industri maritim atau insentif cukai untuk pelaburan dalam latihan pelaut supaya lebih ramai pelaut baru dapat dibangunkan.

 

Presiden Persatuan Pemilik kapal bekalan luar pesisir (OSV) Malaysia atau MOSVA, Jamalludin Obeng berkata, kerajaan telah melanjutkan insentif cukai bagi syarikat yang menjalankan aktiviti pembinaan kapal dan pembaikan kapal (SBS) di Malaysia kepada lima tahun atau sehingga 31 Disember 2027.

 

"Ini akan memberi petanda baik bagi sesetengah ahli MOSVA yang memikirkan pembaharuan armada (fleet) atau perlu mengeringkan (dry-dock) kapal mereka," kata Jamalludin yang juga pengarah urusan Perdana Petroleum Bhd kepada DagangNews ketika dihubungi baru-baru ini.

MOSVA, Jamalludin Obeng
                  Jamalludin Obeng

 

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata industri perkapalan tempatan memerlukan dana penghantaran dan bantuan kewangan terutamanya ketika industri tersebut kini berada dalam fasa pemulihan COVID-19.

 

"Memandangkan keadaan semasa di yang menyelubungi industri perkapalan, adalah penting bahawa dana dan kemudahan pembiayaan yang mencukupi disediakan. Tumpuan seharusnya diberikan kepada kerajaan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pemilik kapal sedia ada yang sedang bergelut untuk terus hidup berikutan kemelesetan ekonomi dan kelembapan dalam industri perkapalan baru-baru ini akibat pandemik COVID-19," beliau memberitahu DagangNews.

 

Mohamed Safwan menegaskan bahawa selain daripada bantuan kewangan, kadar pembiayaan yang kompetitif juga harus diberikan kepada industri perkapalan agar Malaysia berada pada tahap yang sama dalam liga yang setaraf dengan negara lain seperti Singapura, Jepun, Korea dan China.

 

Mengulas mengenai dasar kabotaj negara, beliau berkata pengecualian polis tersebut telah menjadikan kapal Malaysia tidak berdaya saing dan berhadapan kesukaran mengekalkan muatan tan (tonnage) sedia ada, yang secara langsung membawa kepada kemerosotan industri perkapalan negara.

 

 

MASA Mohamed Safwan Othman
                             Mohamed Safwan Othman

 

 

"Ini seterusnya akan membawa kepada Imbangan Pembayaran negatif yang lebih tinggi pada pengangkutan penghantaran. Penggunaan muatan tan asing untuk perdagangan dalam negeri tidak memberikan apa-apa hasil kepada kerajaan kecuali bayaran yang sedikit untuk mendapatkan Lesen Perkapalan Domestik," jelas beliau lagi.

 

Oleh itu, beliau memohon kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan dan mengukuhkan Dasar Kabotaj kerana ia adalah dasar sejagat yang diamalkan di seluruh dunia dan penting untuk industri perkapalan negara.

 

"Ia bukan sahaja atas sebab komersial tetapi yang penting, untuk hal keselamatan, armada (fleet size) pedagang domestik yang besar boleh dimanfaatkan dengan cepat untuk pertahanan negara atau sebagai pengangkut semasa kecemasan/konflik, terutamanya apabila lokasi geografi negara kita hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan. – DagangNews.com