Lee Soon Yean dilantik sebagai Pengurus Negara Adyen baharu | DagangNews Skip to main content

Lee Soon Yean dilantik sebagai Pengurus Negara Adyen baharu

Lee Soon Yean
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 April - Bagi terus memacu komitmen Adyen untuk menyampaikan penyelesaian terbaik kepada Malaysia, syarikat itu melantik Lee Soon Yean sebagai Pengurus Negara untuk platform teknologi kewangan global itu.

 

Adyen dalam kenyataan berkata, Lee yang merupakan warganegara Malaysia sebelum ini merupakan Ketua Pengurusan Akaun APAC, yang berpangkalan di Singapura. 

 

Dengan pelantikan ini katanya, beliau akan kembali ke Malaysia untuk menerajui pertumbuhan syarikat di negara ini. 

 

"Lee menyertai Adyen pada 2015, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan hubungan dengan akaun utama serantau. 

 

"Bersama pasukannya, beliau menyediakan rundingan strategik kepada peniaga yang bertujuan mengoptimumkan pengalaman pembayaran pengguna.

 

"Sebelum menyertai Adyen, Lee mengembangkan kepakaran teknikal dan pengetahuan industrinya dengan berkhidmat di syarikat seperti AirAsia dan Amadeus Asia," katanya.

 

Lee pula berkata, pengalaman mereka dengan pangkalan pedagang global yang pelbagai, bermakna pihaknya mahir dengan cabaran yang biasa dihadapi peruncit. 

 

 

adyen

 

 

Katanya, dengan pengetahuan ini, pihaknya telah membina satu platform yang dapat menangani masalah dan memberi manfaat kepada semua pedagang. 

 

"Sama ada perusahaan tempatan yang ingin berkembang ke luar negara, atau peruncit global yang berharap untuk membuka kedai di sini, kami boleh membantu peniaga mencipta pengalaman pengguna yang lancar dan memacu hasil pertumbuhan," katanya.

 

Terdahulu, platform tersebut melancarkan penyelesaian perdagangan bersepadu di Malaysia dalam membantu perniagaan memenuhi jangkaan pengguna yang berubah-ubah secara fleksibel. 

 

Presiden Adyen APAC, Warren Hayashi berkata, pihaknya sentiasa menjadi rakan kongsi strategik dalam membantu perniagaan merealisasikan cita-cita mereka, lebih-lebih lagi apabila pengguna moden menjadi saluran-agnostik. 

 

"Dengan platform tunggal kami, perniagaan boleh mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai data pembayaran daripada semua titik sentuh jualan, sekali gus memperolehi pengetahuan yang tidak ternilai mengenai pilihan pelanggan mereka," katanya. - DagangNews.com