SHAH ALAM 28 Mei – Leon Fuat Berhad, pengeluar dan pedagang produk keluli, mengkhusus di dalam produk panjang bergulung dan rata, mencatat kenaikan sebanyak 3,297.0% dari segi keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM36.11 juta bagi suku tahunan berakhir 31 Mac 2021 (1Q 2021) berbanding RM1.06 juta yang dicatat pada suku sama tahun kewangan sebelum ini.
Keuntungan kasar mencatat pertambahan sebanyak 296.0% kepada RM53.34 juta bagi 1Q2021 berbanding RM13.47 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun kewangan 2020 disebabkan peningkatan 9.4% di dalam margin keuntungan kasar bagi perdagangan produk keluli kepada 22.2%.
Sementara itu. margin keuntungan kasar bagi pemprosesan dan/atau pengilangan (secara kolektif dirujuk sebagai “pemprosesan”) produk keluli meningkat sebanyak 16.4% kepada 26.8%.
Keseluruhan perolehan bertambah sebanyak 76.2% kepada RM211.48 juta pada 1Q2021 berbanding suku tahunan sama pada tahun kewangan sebelum ini.
Dari segi segmen, perolehan daripada dagangan produk keluli meningkat sebanyak 87.5% kepada RM74.29 juta di dalam suku yang di dalam kajian manakala perolehan daripada pemprosesan produk keluli bertambah sebanyak 70.7% kepada RM137.11 juta.
Penguasan perolehan daripada segmen dagangan menyumbang sebanyak 35.1% bagi suku tahunan tersebut manakala perolehan segmen pemprosesan sebanyakt 64.8%.
Calvin Ooi Shang How, Pengarah Eksekutif Leon Fuat berkata: “Kami gembira dapat mencapai keputusan yang begitu menggalakkan pada suku tahun ini. Harga keluli telah meningkat di seluruh dunia sejak separuh kedua tahun 2020 atas jangkaan masa hadapan ekonomi global yang semakin pulih.
Menurutnya, terdapat lonjakan keluli global didorong oleh permintaan tinggi dengan harga meningkat ke paras tertinggi sejak beberapa tahun ini.
"Namun, sementara harga keluli tidak menunjukkan tanda menurun dalam masa terdekat, kami kekal berwaspada, baik dari segi masa hadapan harga dan juga ekonomi kerana pandemik COVID-19 tidak juga menunjukkan tanda-tanda akan surut.”
“Memandangkan ketidaktentuan menyelubungi pandemik ini, banyak akan bergantung kepada bagaimana kunci ekonomi di seluruh dunia boleh kembali pulih dan kesannya terhadap permintaan dan harga keluli.
"Kemeruapan harga komoditi dan minyak mentah akan berterusan memberi impak ke atas ringgit, dan dengan faktor tersebut memberi kesan ke atas keuntungan produk keluli kami disebabkan kebanyakan produk ini disumberkan dari luar negara.
"Kami bermatlamat untuk mencapai pertumbuhan lestari dan akan terus memantau harga keluli dan juga mata wang asing berkaitan serta mengambil langkah-langkah proaktif termasuk merunding semula kontrak hadapan, pengurusan inventori dan kos pengurusan secara cermat bagi menangani sebarang impak negatif,” kata beliau.
Leon Fuat baru-baru ini menyempurnakan proses penempatan persendirian di mana dana yang dijana akan dilabur ke dalam perluasan perniagaan dan pembelian mesin-mesin baharu bagi memenuhi tempahan pelanggan. Setakat hari ini, harga saham Leon Fuat ditutup pada RM1.06 dengan permodalan pasaran sebanyak RM361.46 juta.
“Kami sudah dan akan terus secara aktif menangani segala kebimbangan berkaitan COVID-19 dari segi semua kakitangan kami dan operasi perniagaan. Ini adalah perkara diutamakan dengan mematuhi semua peraturan PKP dan prosedur standard operasi lain dari Majlis Keselamatan Negara.
Kumpulan ini telah menyediakan pasukan bertindak kecemasan (ERT) di dalam tiga subsidiarinya dan sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan ERT di peringkat kumpulan yang lebih besar. - DagangNews.com