Leong Hup tangguh beberapa projek selepas mengambil kira keadaan pasaran tidak menentu, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Leong Hup tangguh beberapa projek selepas mengambil kira keadaan pasaran tidak menentu, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac - Leong Hup International Berhad masih menangguhkan beberapa projek perbelanjaan modal (capex) serantau selepas mengambil kira keadaan pasaran tidak menetu selain kenaikan kadar faedah.

 

MIDF Research berkata, kumpulan itu menjangkakan perbelanjaan keseluruhan untuk FY23 akan kurang daripada RM200 juta,menyusut daripada RM291.5 juta pada FY22.

 

"Belanjawan kumpulan untuk FY21 adalah RM345.9 juta, RM498.6 juta diperuntukan untuk FY20 dan RM400.2 juta untuk FY19," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keputusan kewangan kumpulan untuk suku keempat dan tahun penuh berakhir 31 Disember 2022 menyaksikan keuntungan bersih bagi suku tersebut melonjak lebih dua kali ganda, 139% tahun ke tahun secara khusus, kepada RM90.7 juta daripada RM38 juta telah didaftarkan pada suku yang sama 2021.

 

Hasil untuk tiga bulan berakhir 31 Disember 2022 juga melonjak 28% kepada RM2.32 bilion daripada RM1.81 bilion sebelumnya.

 

Secara kumulatif bagi keseluruhan 2022, lonjakan keuntungan bersih syarikat itu lebih tinggi pada 156% tahun ke tahun kepada RM218.9 juta berbanding RM85.4 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama 2021.

 

Firma itu berkata, Pada FY22, kumpulan itu menyelesaikan barisan pengeluaran tambahan di Vietnam untuk memenuhi permintaan makanan dan ia akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tambahan sebanyak 6,000 tan sebulan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu memperuntukkan RM8.3 juta untuk pemasangan sistem solar di Malaysia dan ia dijadualkan siap pada 1QFY23, dengan objektif untuk mengurangkan penggunaan elektrik di loji tertentu.

 

"Pihak pengurusan menjangkakan pemasangan itu akan mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 70% hingga 85%," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah 90 sen sesaham. - DagangNews.com