LitUp Network, International Gateway Company bekerjasama tingkatkan infrastruktur ketersambungan rangkaian di Thailand  | DagangNews Skip to main content

LitUp Network, International Gateway Company bekerjasama tingkatkan infrastruktur ketersambungan rangkaian di Thailand 

Lokasi stesen pendaratan kabel (CLS) Lit Up Network di Thailand
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - Anak syarikat milik penuh OMS Group Sdn Bhd, LitUp Network Singapore Pte Ltd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan International Gateway Company Limited bagi meningkatkan infrastruktur ketersambungan rangkaian di Thailand. 

 

Selain daripada memperluaskan kehadiran kedua-dua syarikat di rantau ASEAN, MoU tersebut menggariskan perkongsian strategik mengenai pelbagai projek di Thailand dan di rantau itu termasuk stesen pendaratan kabel dan sistem kabel dasar laut.

 

LitUp Network dan International Gateway Company berkata, perkongsian itu akan menumpukan kepada tiga teras utama termasuk infrastruktur ketersambungan rangkaian, penyelesaian pendaratan kabel dasar selam dan meluaskan perkongsian bagi projek masa hadapan.

 

“Melalui MoU ini, kami menyasar untuk membangunkan dan menyampaikan infrastruktur sambungan rangkaian termaju bagi menyokong permintaan  perkhidmatan internet berkelajuan tinggi.

 

“Selain itu, kami juga mewujudkan dan uruskan stesen pendaratan kabel dasar laut, tempat kehadiran dan infrastruktur berkaitan yang penting bagi menjayakan penggunaan sistem kabel dasar laut dan kemudahan pendaratan. 

 

“Akhirnya kami akan meluaskan kerjasama ini kepada semua projek infrastruktur digital masa hadapan, memanfaatkan kepakaran dan sumber kedua-dua pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif International Gateway Company, Pichit Satapattayanont berkata perkongsian itu mencerminkan komitmen syarikat untuk memajukan landskap ketersambungan Thailand dan berkembang ke rantau ASEAN. 

 

“Kerjasama rapat dengan LitUp Network ini akan menyampaikan rumusan inovatif untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang di rantau ini,” ulas beliau. 

 

Dalam pada itu, LitUp Network dan International Gateway Company juga bekerjasama membangunkan sistem kabel dasar laut baharu dari Songkhla ke Rayong serta pautan daratan, Satun-Hatyai-Songkhla-Rayong.

 

Projek itu akan melengkapkan dua lagi sistem pembangunan dalam masa terdekat iaitu Hatyai ke Padang Besar dan Hatyai ke Bukit Kayu Hitam.- DagangNews.com