Lotte Chemical Titan bekerjasama dengan Polymateria bagi komersialkan resin biodegradasi | DagangNews Skip to main content

Lotte Chemical Titan bekerjasama dengan Polymateria bagi komersialkan resin biodegradasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) menerusi Lotte Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama syarikat bioteknologi Britain, Polymateria Ltd bagi mengkomersialkan "Resin+" iaitu resin biodregradasi.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul berkata, kerjasama lima tahun itu adalah sebahagian daripada visi korporat kumpulan untuk mengurus isu perubahan iklim, meminimumkan kesan alam sekitar daripada operasi perniagaannya dan menyediakan penyelesaian yang mampan untuk pelanggan.

 

"Kami memberi tumpuan kepada isu alam sekitar dan perubahan iklim. 

 

"Sebagai pengeluar poliolefin terbesar di Asia Tenggara, kami mempunyai tanggungjawab untuk memberi perhatian khusus kepada isu alam sekitar, terutamanya mengurangkan jejak karbon,” katanya.

 

Beliau berkata, perubahan atau input sifar diperlukan untuk membungkus Resin+ baharu ke dalam peringkat pembuatan untuk penciptaan poliolefin, sambil menambah bahawa kumpulan itu akan memperkenalkan produk khusus baharu ini kepada pelanggan tidak lama lagi.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Polymateria, Niall Dunne berkata, bahan baharu itu tidak menghasilkan mikroplastik dan terurai dalam tempoh dua tahun.

 

"Kami bekerja merentasi rantaian nilai tetapi di Malaysia dengan Lotte, kami memberi fokus aktiviti hiliran kepada pembungkusan serta jenama supaya ia disampaikan kepada pengguna dengan cara yang betul.

 

"Syarikat pembungkusan tahu cara menggunakan teknologi Resin+ baharu yang kami bangunkan,” katanya.

 

Beliau berkata, Polymeteria turut mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Malaysia dengan menguji produknya secara aktif.

 

Beliau juga berkata, piawaian BSI PAS 9017 British Standards Institution mengenai plastik biodegradasi telah diiktiraf dalam Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia dan Dasar dan Pelan Tindakan Sampah Marin Negara yang dirumuskan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air sebelum ini. - DagangNews.com