LYC Healthcare jalin kerjasama bangunkan kursus pendidikan penjagaan selepas bersalin | DagangNews Skip to main content

LYC Healthcare jalin kerjasama bangunkan kursus pendidikan penjagaan selepas bersalin

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - LYC Healthcare Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kolej Universiti Lincoln dan Evexia Education Group Sdn. Bhd. bagi membangunkan kursus pendidikan berkaitan penyediaan perkhidmatan penjagaan selepas bersalin.

 

Kerjasama itu adalah melibatkan unit LYC Healthcare iaitu Mother & Child Centre Sdn. Bhd (LYCMC). 

 

Kumpulan itu merupakan antara pengendali penjagaan selepas bersalin terbesar di Malaysia dengan operasi merentasi empat pusat penjagaan di Taman Tun Dr. Ismail, Puchong, Bukit Jalil dan Johor Bahru.

 

Pusat penjagaan selepas bersalin itu menawarkan penginapan, makanan khususn terapi selepas bersalin dan sokongan 24 jam kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan.

 

Menerusi perjanjian itu, kesemua pihak yang terlibat menyasarkan untuk membangunkan dua bentuk program merangkumi kursus penjagaan selepas bersalin profesional jangka pendek dan diploma jangka panjang khususnya Diploma Pembantu Perubatan.

 

Sukatan pelajaran program akan dibangunkan bersama LYCMC dan Kolej Universiti Lincoln manakala Evexia yang terlibat dalam latihan, pengurusan projek dan perundingan akan dilantik sebagai pengurus projek untuk menyelaras pembangunan kursus.

 

Pengarah Urusan LYC yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, David Sui Diong Hoe berkata, kerjasama itu didorong oleh matlamat bersama untuk melibatkan golongan muda dan menggalakkan mereka mempelajari kemahiran baharu dalam industri yang semakin berkembang.

 

"Kursus itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin meningkatkan kemahiran diri dan kami berharap dapat mengisi jurang tenaga pekerja selain bersedia mewujudkan bakat baharu dalam industri penjagaan selepas bersalin," katanya.

 

Pengasas, Presiden dan Pengerusi Kolej Universiti Lincoln, Prof. Dr. Amiya Bhaumik berkata, penyertaan sektor swasta adalah penting untuk meningkatkan jangkauan dan keberkesanan pendidikan.

 

"Selain kerjasama ini, kami juga berhasrat untuk mencari lebih banyak peluang di dalam bidang perniagaan penjagaan kesihatan bersama LYC dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com