Mah Sing lancar galeri jualan baharu, M Panora | DagangNews Skip to main content

Mah Sing lancar galeri jualan baharu, M Panora

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Syarikat pemaju hartanah, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) secara rasminya melancarkan galeri jualan baharu iaitu M Panora yang merupakan pembangunan perbandaran yang keempat di Rawang.

 

Mah Sing berkata, M Panora adalah pembangunan kediaman milikan bebas yang terletak di Rawang dengan keluasan tanah 45.38 ekar dengan nilai pembangunan kadar berjumlah RM300 juta.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri  Leong Hoy Kum berkata, sentimen terhadap pasaran hartanah dilihat meningkat melalui sambutan dalam pelancaran projek pihaknya baru-baru ini.

 

Katanya, program imunisasi kebangsaan serta pengumuman pakej rangsangan Pemerkasa bernilai RM20 bilion juga menjadi pemacu kepada keyakinan masyarakat dan membantu menghidupkan semula ekonomi tempatan.

 

.

 

"Didorong oleh landskap pemulihan ekonomi, kami percaya bahawa ini adalah masa yang tepat bagi pembeli rumah untuk menaik taraf dan mendapatkan rumah ideal mereka.

 

"M Panora pastinya sesuai dengan permintaan pasaran bagi pembeli rumah yang menginginkan ruang yang lebih besar untuk menampung isi rumah khususnya keluarga yang besar.

 

"Dengan kadar faedah semasa yang rendah serta harga yang kompetitif, kami yakin projek ini akan mendapat sambutan yang positif daripada pembeli seperti mana projek kami di Rawang sebelumnya iaitu M Residence 1&2 dan M Aruna.

 

"Seiring dengan prospek ekonomi dan hartanah yang lebih baik, kami akan terus mengekalkan momentum dan berusaha untuk mencapai sasaran jualan yang lebih tinggi sebanyak RM1.6 bilion tahun ini, melibatkan jualan 91% produk berharga di bawah RM700,000 dan 51% produk di bawah RM500,000," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pembukaan galeri jualan baharu itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Mah Sing, Yeoh Chee Beng; Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Mah Sing, Angela Chong serta pasukan projek M Panora.

 

.

 

Projek berkenaan terkenal sebagai pembangunan berkepadatan rendah melibatkan 396 unit rumah dua tingkat bersambung (24’x65’) di kawasan perbandaran - sembilan unit per ekar.

 

M Panora terdiri daripada dua jenis unit bersama empat bilik tidur dan tiga bilik air dengan keluasan pembinaan daripada 1,770 hingga 2,026 kaki persegi.

 

Dengan tawaran harga bermula RM650,000 dan ke atas, M Panora bakal dilancarkan pada suku ketiga 2021.

 

Mengulas berkaitan pelancaran galeri berkenaan,  Ho Hon Sang berkata, pembukaan galeri jualan M Panora merupakan satu permulaan yang baik bagi Mah Sing kerana ia merupakan pembukaan galeri jualan yang pertama untuk kumpulan bagi tahun 2021.

 

"Mah Sing telah lama bertapak di Rawang sejak 2011 dan M Panora manjadi pembangunan keempat kami di kawasan Rawang.

 

"Pencapaian ini adalah bukti kemampuan Mah Sing dalam memahami trend dan permintaan pasaran," tambah beliau. - DagangNews.com