Mah Sing mampu catat jualan lebih baik berbanding pesaing, kata UBS Securities | DagangNews Skip to main content

Mah Sing mampu catat jualan lebih baik berbanding pesaing, kata UBS Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - UBS Securities menjangkakan Mah Sing Group Berhad mampu mencatatkan jualan rumah yang lebih baik berbanding pesaingnya kerana penawaran harga yang lebih kompetitif dan menarik.

 

Firma itu berkata, berikutan kadar pengambilan yang kukuh sebanyak 95% daripada 806 unit M Astra di Menara B pada Disember 2022 (bermula RM399,000 seunit), pelancaran projek akan datang seperti  620 unit M Astra, M Nova (bermula RM318,000 seunit) dan projek lain yang bernilai melebihi RM500,000 seharusnya mendorong mementum jualan mereka.

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan yang kukuh seharusnya mengurangkan kesan kadar faedah yang lebih tinggi kepada kumpulan itu dan pada masa sama menjangkakan penjualan rumah mampu milik seharusnya kepada ke tahap 2018-2019.

 

"Bagaimanapun kami melihat pemaju perumahan itu akan menunjukkan prestasi yang lebih baik tetapi kami mengunjurkan jualan kumpulan itu akan menyusut sebanyak 10% pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pasaran semasa menunjukkan kebimbangan terhadap jualan kepada golongan pertengahan yang menjadi sasaran utama kumpulan itu dan ia berkemungkinan disebabkan nisbah hutang kepada pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 1.8x berbanding kumpulan pendapatan lain pada 1.5x.

 

"Kami percaya strategi Siri M Mah Sing (projek bertingkat KL berpusat berharga sekitar RM500,000) berada pada kedudukan yang baik disokong permintaan yang semakin meningkat untuk rumah mampu milik," katanya.

 

Firma itu berkata, kos pembinaan bangunan terdiri daripada 40% hingga 50% daripada nilai pembagunan kasar (GDV) meningkat 9% hingga 25% berbanding tahap pra-pandemik.

 

"Bagaimanapun kami percaya ia akan dikurangkan oleh harga jualan yang lebih tinggi sehingga 10%.

 

"Memandangkan kami menjangkakan kos faedah akan kembali normal ke arah puncak 2019-2020, kumpulan kekal pada kedudukan yang baik dengan penggearan bersih <0.3x yang rendah," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan 'beli' daripada 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi 80 sen berbanding 70 sen. - DagangNews.com