KEMURUNGAN dalam kalangan mahasiswa semakin membarah, tetapi masyarakat masih tidak ambil peduli dan menganggap ini hanyalah sekadar ‘gangguan emosi’ dan bukannya penyakit.
Perlu diketahui bahawa kemurungan atau depression tidak mengenal sempadan usia, faktor jantina, agama mahupun bangsa seseorang.
Kemurungan bukanlah perkara yang baharu dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya para mahasiswa yang merupakan golongan belia dan remaja.
Penelitian dan laporan yang dikeluarkan oleh pakar perubatan dan psikologi menemukan beberapa kes yang melibatkan remaja bertindak di luar jangkaan akibat tekanan perasaan dan membawa kepada siri jenayah seperti bunuh diri, mencederakan orang lain, dan lebih mengejutkan melibatkan keluarga si pelaku itu sendiri.
Banyak punca berlakunya kemurungan dalam diri seseorang.
Portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan di antara faktor kemurungan termasuklah disebabkan oleh perubahan kimia dalam otak iaitu berlaku ketidakseimbangan kimia (Neurotransmitter Serotonin dan Neropinephine).
Penghidap juga boleh mewarisi kemurungan daripada generasi keluarganya terdahulu atau faktor persekitaran hasil daripada peristiwa hidup seperti kegagalan, kematian, atau bencana yang melanda serta kurang sokongan dari keluarga dan masyarakat sekeliling.
Secara psikologi pula dapat dilihat daripada gaya dan corak pemikiran seseorang yang melibatkan bagaimana persepsi seseorang kepada diri sendiri, kehidupan dan dunia keseluruhannya.
Malu berkongsi
Mahasiswa kebiasaannya malu untuk menceritakan kepada umum tentang kemurungan yang mereka hadapi dek kerana tanggapan masyarakat melihat perkara ini sebagai taboo dan tidak penting untuk dibicarakan kepada umum.
Malangnya disebabkan kurang pendedahan tentang bahayanya kemurungan, orang ramai tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada tragedi sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Mereka adalah golongan yang sangat mudah untuk mengalami masalah kesihatan mental memandangkan cabaran yang biasanya berkaitan dengan peralihan ke alam dewasa dan kesukaran ekonomi dari golongan ini.
Dalam kajian yang dilakukan oleh seorang pensyarah di universiti tempatan mendapati bahawa mahasiswa adalah golongan yang mudah mendapat tekanan akibat penyesuaian pendidikan, sosial, persekitaran dan psikologi dalam suasana kampus.
Kajian yang lain menyatakan dengan pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia menyebabkan semakin ramai mahasiswa yang terdedah kepada masalah stres sehingga mendatangkan kesan kepada pencapaian akademik, aktiviti kokurikulum dan peranan sebagai ahli masyarakat.
Pelbagai langkah dan kempen dilancarkan oleh agensi kerajaan dan NGO seperti sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, ‘Let’s Talk Malaysia’, menubuhkan hotline seperti Talian Kasih dan banyak lagi.
Ini adalah usaha intervention awal, supaya ada tempat untuk mereka yang bermasalah untuk mengadu atau bercakap dengan.
Masalah kemurungan bukan seperti demam yang boleh dirawat dengan menelan panadol. Ini melibatkan perkara mental dan jiwa perasaan. Bab ini jika masyarakat masih tidak memahami, sampai bila pun orang murung tidak akan mendapat bantuan di peringkat awal.
Dengan era teknologi ini, sudah ada aplikasi dan laman web yang boleh dimuat turun dan lawat jika ingin meluahkan atau berkongsi pengalaman dalam mengatasi kemurungan, misalnya aplikasi What’s Up?, Self-Help for Anxiety Management atau SAM, Calm, Mindmeister dan sebagainya.
Benarlah pepatah mengatakan, mencegah lebih baik dari mengubati.
Sekiranya pelajar mengalami stres atau tekanan perasaan, berjumpalah dengan sesiapa yang boleh mendengar dan membantu mengurangkan tekanan mereka baik dari kalangan ahli keluarga atau rakan terdekat.
Masyarakat perlulah mengambil iktibar dari kisah-kisah yang telah dipaparkan di pelbagai media tentang masalah mental ini.
Bukan semua penyakit mental itu ‘gila’, dan depresi boleh ditangani jika dikesan dengan segera. - DagangNews.com