MAHB berusaha dapatkan 15 lagi syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MAHB berusaha dapatkan 15 lagi syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang menggiatkan usaha mendapatkan 15 lagi syarikat Penerbangan sing untuk beroperasi di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka telah meluaskan ketersambungan rangkaian negara, menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini memberi perkhidmatan kepada 70 syarikat penerbangan, melepasi tahap pra-pandemik yang mempunyai 69 syarikat penerbangan.

 

MAHB berkata, menjelang akhir tahun ini, tiga lagi syarikat penerbangan iaitu British Airways, Vietjet Air dan 9 Air dijangka mula beroperasi.

 

"Kami juga berhasrat mengangkat KLIA sebagai hab antarabangsa pilihan dengan mencari 15 syarikat penerbangan asing untuk beroperasi di Malaysia," katanya.

 

Bagi meningkatkan kualiti perjalanan Udara, kumpulan itu juga melabur dengan ketara dalam pelbagai inisiatif seperti Program Airline X-celeration, yang merangkumi pengecualian yuran pendaratan, rebat sewa pejabat lapangan terbang dan sokongan pemasaran.

 

Katanya, kira-kira RM3 juta telah diperuntukkan untuk sokongan pemasaran di laluan Malaysia-China sahaja setakat ini, menekankan komitmen kumpulan itu bagi meningkatkan kesalinghubungan dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan.

 

MAHB berkata, pada Mei 2024, kumpulan itu menyaksikan peningkatan berterusan dalam trafik, yang dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk lanjutan perjalanan tanpa visa kepada pelancong China serta pengenalan perkhidmatan baharu oleh AirAsia dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad dan Juneyao Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong setiap empat kali seminggu.

 

Sementara itu, MAHB berkata, trafik domestik di lapangan terbang tempatan mengekalkan prestasi positif dengan 3.7 juta penumpang direkodkan pada bulan lalu.

 

"Konsistensi dalam perjalanan domestik ini menyerlahkan permintaan yang kukuh untuk perjalanan udara dalam negara, disokong lagi oleh ketersambungan yang dipertingkatkan dan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan lapangan terbang," katanya.

 

MAHB berkata, di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, jumlah pergerakan penumpang pada Mei 2024 mencecah 3.5 juta, menandakan peningkatan 3% berbanding April 2024.

 

Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik menyumbang kepada pertumbuhan ini, dengan 1.8 juta penumpang antarabangsa dan 1.7 juta penumpang domestik direkodkan pada Mei 2024. - DagangNews.com