Central Airlines, turut dikenali sebagai ZhongzhouAirlines merupakan pesawat kargo China yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng.
KUALA LUMPUR 16 Julai - Central Airlines dari Shenzhen, China menjadi pesawat kargo ketiga yang memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun ini.
Ini secara tidak langsung menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap kargo udara dalam tempoh pandemik.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, dengan menarik penyertaan rakan pesawat baharu dan menyokong pertumbuhan mereka akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kargo serantau, terutama sebagai pusat pengedaran e-dagang serantau.
Katanya, sektor logistik kargo udara memberi harapan dalam membantu menangani kesan terhadap pandemik COVID-19.
“Bagi separuh pertama 2021, kami merekodkan kira-kira 468,400 tan jumlah operasi kargo di Malaysia, peningkatan 22% daripada tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KLIA menerima kehadiran Central Airlines baru-baru ini iaitu pesawat kargonya yang ke-18 secara keseluruhan yang akan beroperasi tiga kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737F.
Dua lagi pesawat kargo udara yang memulakan operasi di KLIA pada 2021 adalah Kargo Xpress dan GetJet Airlines.
Central Airlines, turut dikenali sebagai ZhongzhouAirlines merupakan pesawat kargo China yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng.
Menurut Mohd. Shukrie, pertumbuhan kargo yang memberangsangkan dapat dilihat di lapangan terbang lain terutamanya di Malaysia Timur.
“Terdapat 5 lapangan terbang utama yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu Tawau, Sibu, Limbang, Kota Kinabalu dan Kuching.
"Ia mencatat pertumbuhan antara lebih 70 hingga 700% di lapangan terbang ini dipacu terutamanya menerusi jumlah transaksi e-dagang yang lebih tinggi,” katanya.
Bagi Jun 2021, keseluruhan rangkaian lapangan terbang kumpulan itu mencatatkan peningkatan 26% bulan ke bulan bagi jumlah muatan tan kargo kepada kira-kira 78,200 tan.
Lapangan terbang di Malaysia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken Istanbul, Turki masing-masing merekodkan kenaikan 26% (74,600 tan) dan 47% (3,600 tan). - DagangNews.com