MAHB kekal fokus bangunkan lapangan terbang Subang | DagangNews Skip to main content

MAHB kekal fokus bangunkan lapangan terbang Subang

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Kementerian Pengangkutan menegaskan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bertanggungjawab untuk mengembangkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) sebagai hab aeroangkasa antarabangsa mengikut keputusan Kabinet pada 2 Mac 2005. 

 

Kementerian itu berkata, tidak ada sebarang keputusan dibuat Kabinet untuk meluluskan penjualan mana-mana bahagian LTSAAS kepada sektor swasta, seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

 

"Hak pengoperasian kekal di bawah Perjanjian Pajakan yang diberikan kepada MAHB untuk mengendali, mengurus dan menyelenggara termasuk menetap, mengguna dan mengawal LTSAAS sehingga 2034 dan 2067. 

 

"Tidak ada keputusan lain yang dibuat untuk mengubah perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Desas desus mengenai penjualan lapangan terbang ini mula dibangkitkan pada Mac lalu, apabila WCT Holdings Bhd mengemukakan cadangan pembangunan kepada kerajaan untuk menyertai perjanjian konsesi baharu selama 50 tahun untuk mengendalikan keseluruhan kawasan LTSAAS sehingga 2092 dan membangunkan semula lapangan terbang itu dengan kos RM3.7 bilion bagi tempoh lebih 10 tahun. 

 

Bagaimanapun, hari ini, Kementerian Kewangan mengesahkan kerajaan tiada perancangan untuk menjual mana-mana hartanah lapangan terbang di Malaysia, termasuk LTSAAS kepada mana-mana pihak.

 

Malah, kementerian itu juga menegaskan, hartanah lapangan terbang adalah dianggap sebagai aset strategik kerajaan. 

 

Baca : MoF sahkan lapangan terbang Subang tidak dijual

 

Zambry Abd Kadir
Zambry Abd Kadir

 

Sementara itu, dalam kenyataan lewat petang tadi, Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sokongan pihak kerajaan terhadap MAHB ini akan mengukuhkan komitmen syarikat untuk terus menyumbang dalam mencapai aspirasi negara dan industri penerbangan Malaysia. 

 

"Kami yakin komitmen ini dapat dipenuhi sepenuhnya dengan pelaksanaan pelan Regenerasi LTSAAS yang telah dirangka dan memastikan ia kekal sebagai aset strategik negara," katanya
 

 

Sumber : MAHB
Sumber : MAHB

 

 

Sebelum itu, dalam sidang akhbar secara maya petang ini, Pengurus Besar KLIA Aeropolis Sdn. Bhd. (KASB), Randhill Singh berkata, sebarang pelaburan hartanah di lapangan terbang itu harus menyokong pengembangan industri aeroangkasa dan bukannya membiarkan ia terpinggir.

 

"LTSAAS secara dasarnya memiliki potensi yang besar, malah lebih baik berbanding lingkungan populasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), memandangkan lokasinya yang strategik dan berdekatan kawasan bandar. 

 

"Malah, pelaburan hartanahnya juga cukup besar. Tetapi, tidak semestinya, demi memberi tumpuan kepada pembangunan ini (hartanah), industri aeroangkasa kurang diberi tumpuan," katanya.

 

Tambahan pula, beliau berkata, LTSAAS adalah antara tujuh daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB yang mencatat keuntungan.
 

 

Randhill Singh
Randhill Singh

 

 

Sidang akhbar tersebut turut dihadiri Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia, Naguib Mohd. Nor dan Pengurus Besar Komunikasi Korporat MAHB, Nik Anis Nik Zakaria.

 

Sebelum ini, MAHB dilaporkan memperuntukkan pelaburan RM1.3 bilion bagi membangunkan semula lapangan terbang Subang menjadi hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik dalam masa lima tahun akan datang.

 

Pembangunan yang bermula awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027 itu akan dimajukan oleh anak syarikatnya, KASB.

 

Pelan induk pembangunan semula Lapangan Terbang Subang yang kini sudah dimajukan menerusi kerja-kerja tanah itu dijangka mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi apabila siap sepenuhnya menjelang 2027.

 

 

Naguib Mohd. Nor
Naguib Mohd. Nor 

 

 

Bagaimanapun, susulan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Kewangan Pengangkutan petang ini, yang dilihat 'masih samar-samar', Naguib berkata, MAHB perlu mendapatkan pengesahan segera dari kerajaan mengenai pelaksanaan Pelan Regenerasi LTSAAS memandangkan perkara itu tidak disentuh dalam kenyataan tersebut.

 

Ini kerana katanya, terdapat banyak percubaan sebelum ini untuk mengambil alih lapangan terbang Subang sekali gus menimbulkan kegelisahan kepada operator asing. 

 

"Industri ini memerlukan hala tuju yang jelas dan tidak berbelah bahagi bagi memajukan sektor aeroangkasa dan LTSAAS adalah menjadi kunci utama. 

 

"Oleh itu, pelan ini perlu diluluskan dengan segera," tegas beliau. 

 

Naguib berkata, sebarang penangguhan terhadap pelaksanaan pelan ini akan memberi kesan kepada operator, strategi pelaburan dan juga keputusan untuk melabur di Malaysia. 

 

"Pelabur dalam sektor aeroangkasa akan melihat LTSAAS sebagai berisiko tinggi kepada keputusan pelaburan mereka setelah terdapat beberapa laporan pengambilalihan," katanya. - DagangNews.com