MAHB sasar jumlah kargo meningkat 1.4 juta dengan operasi Cainiao | DagangNews Skip to main content

MAHB sasar jumlah kargo meningkat 1.4 juta dengan operasi Cainiao

Cainio sebelum ini dikenali sebagai KLIA Aeropolis DFTZ Park mempunyai keluasan 2.6 juta kaki persegi dengan 1.1 juta kaki persegi ruang gudang.

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 3 Nov. - Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) menjangkakan operasi Cainiao Aeropolis eWTP Hub akan meningkatkan jumlah kargo sehingga 1.4 juta tan metrik setiap tahun menjelang 2029.

Ketika ini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan jumlah kargo pada 700,000 tan metrik. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pertumbuhan jumlah kargo itu secara tidak langsung meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan di KLIA melalui laluan baharu dan frekuensi penerbangan, penggunaan ruang sepenuhnya dan kapasiti penerbangan kargo.

 Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh
 Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh

Katanya, rakan kerjasama syarikat penerbangan sedia ada di KLIA juga boleh menikmati hasil perniagaan baharu ini apabila MAHB menjalin usaha sama strategik dengan pemain baharu tempatan antaranya, Pos Aviation, MABKargo dan GTR untuk mengintegrasikan kemudahan di Cainiao. 

"Bagi penghantaran terakhir untuk penerimaan barang akan dikendalikan oleh GDex, Pos Laju, J&T Express dan lain-lain. 

"Sehubungan itu, kami berharap dapat meningkatkan penerbangan kargo sedia ada kepada dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Beliau berkata, dengan penggunaan automasi, robotik, kecerdasan pintar dan data besar, ia akan terus memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dan rantaian bekalan. 

"Ini berpotensi untuk menyumbang sekurang-kurangnya AS$10.1 bilion kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 10,000 pekerjaan dalam tempoh 10 tahun operasi hab ini," katanya. 

Bagi memenuhi hasrat itu, MAHB menyasarkan penyertaan vendor dari sektor automotif, barangan sukan, fesyen dan gaya hidup, elektronik dan peralatan perubatan. 

Cainio sebelum ini dikenali sebagai KLIA Aeropolis DFTZ Park mempunyai keluasan 2.6 juta kaki persegi dengan 1.1 juta kaki persegi ruang gudang. 

Hab tersebut merupakan kerjasama antara MAHB dan Alibaba Group, dan merupakan projek utama di bawah Platfrom Perdagangan Dunia (eWTP) antara kerajaan Malaysia dan Alibaba Group pada 2017. 

Dengan bermulanya operasi ini, ia dijangka dapat membantu mempermudahkan penghantaran 24 jam di seluruh negara bagi pengendali e-dagang sekali gus mencapai sasaran penghantaran 72 jam ke seluruh dunia. 

Firma e-dagang terbesar Asia Tenggara merupakan syarikat pertama yang menggunakan kemudahan ini dan dijangka lebih banyak syarikat akan menyertai hab ini sebagai pusat pengedaran serantau. - DagangNews.com