Mahkamah Tinggi tolak permohonan saman Synergy Promenade terhadap Felda, FIC | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi tolak permohonan saman Synergy Promenade terhadap Felda, FIC


KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan Synergy Promenade Sdn. Bhd. untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Felda dan FIC, dan memerintahkan syarikat pemaju itu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada kedua-duanya.

SPSB telah memulakan satu tindakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Felda dan FIC untuk pelaksanaan spesifik Artikel 6.04 Perjanjian Pembangunan bertarikh 2 Jun 2014 antara Synergy Promenade dan FIC.

Secara asasnya, Synergey Promenade memohon satu perintah terhadap Felda dan FIC untuk menyerahkan kepada syarikat itu milikan kosong 23 bidang tanah yang merupakan tapak pembangunan Kuala Lumpur Vertical City di Jalan Semarak, Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Felda.

felda
Projek pembangunan KL Vertical City yang penuh dengan kontroversi. 

 

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu dicapai setelah mendapati antara lainnya, keesahan Perjanjian Pembangunan tersebut adalah meragui disebabkan persetujuan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda tidak diperoleh sebelum pelaksanaan Perjanjian Pembangunan tersebut.

``Persetujuan Menteri adalah satu keperluan yang diperuntukkan oleh undang-undang, iaitu s.3(3)(c) Akta Kemajuan Tanah 1956.'' katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Julai lalu, yang menolak permohonan penghakiman terus Synergy Promenade terhadap Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Felda dan FIC diwakili oleh Kumar Kanagasingam, Mong Chung Seng dan Michele Yee Phui Hwa dari Tetuan Lee Hishammuddin Allen & Gledhill. - DagangNews.com