Malacca Securities syor 'langgan' saham Sunview Group, TP 60 sen | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities syor 'langgan' saham Sunview Group, TP 60 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Sept - Malacca Securities memberikan saranan 'langgan' untuk saham Sunview Group Berhad pada harga sasaran (TP) 60 sen.

 

Firma itu menyukai kumpulan itu berdasarkan prospek perkembangan yang disokong peningkatan permintaan terhadap pemasangan solar fotovoltaik (PV) menerusi  pelan hala tuju kerajaan untuk mencapai campuran penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 31% dan 40% menjelang 2025 dan 2035.

 

"Kumpulan itu memiliki 4% pegangan pasaran berdasarkan kepada nilai perniagaan dan TP itu adalah potensi pulangan sebanyak 106.9% mengatasi harga tawaran awam permulaan (IPO)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu berjaya melengkapkan 98 kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan solar PV bermula daripada bangunan perindustrian, kediaman dan komersial dengan kapasiti terpasang terkumpul sebanyak 23.08 MWp.

 

Syarikat itu juga berjaya menyelesaikan penyediaan pembinaan dan pemasangan untuk 6 loji PV Ladang Solar Berskala Besar (LSS) sebagai subkontraktor dan memperoleh 7 projek loji PV LSS baharu di bawah program LSS 1, LSS 2, LSS 4 dan NEDA dengan kapasiti terpasang agregat 178.0 MWac dan nilai kontrak RM658.04 juta dijangka siap menjelang FY24.

 

"Kumpulan itu juga merancang untuk memanfaatkan pengalaman dan rekod prestasinya dalam EPCC kemudahan solar PV untuk menerokai kemudahan RE lain seperti loji biogas yang direka untuk menjana elektrik dengan menggunakan bahan buangan seperti sisa pertanian.

 

"Mereka juga berhasrat menubuhkan pejabat baharu untuk mengembangkan perniagaannya di Johor untuk mencari peluang berpotensi dalam EPCC kemudahan solar PV solar selain menyasarkan aplikasi komersial serta perindustrian di wilayah Selatan," katanya.

 

Firma itu berkata, berdasarkan nilai kontrak yang kukuh sebanyak RM558.34 juta pada 30 Ogos 2022 yang akan diiktiraf sepenuhnya FY24, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan solar PV di bawah Pelan Peralihan Tenaga Kerajaan 2021 – 2040. - DagangNews.com