Malakoff kembali catat untung bersih RM93.6 juta pada 2QFY24 didorong peningkatan sumbangan Loji Janakuasa Tanjung Bin | DagangNews Skip to main content

Malakoff kembali catat untung bersih RM93.6 juta pada 2QFY24 didorong peningkatan sumbangan Loji Janakuasa Tanjung Bin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Malakoff Corporation Bhd kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM93.6 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding kerugian bersih RM318.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan itu berkata, lonjakan keuntungan itu dipacu sumbangan lebih baik daripada Loji Janakuasa Tanjung Bin dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd berikutan purata wajaran kos arang batu yang lebih rendah berikutan penstabilan harga global, permintaan tenaga yang lebih tinggi dan keuntungan daripada pampasan bagi pengambilan tanah secara wajib.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu bagaimanapun menyusut sebanyak 2.4% kepada RM2.31 bilion berbanding RM2.36 bilion pada 2QFY23. 

 

"Penurunan itu disebabkan pembayaran tenaga yang lebih rendah yang dicatatkan Loji Janakuasa Tanjung Bin dan Tanjung Bin Energy mencerminkan penurunan harga arang batu.

 

"Bagaimanapun, in sebahagiannya ditampung oleh bayaran tenaga yang lebih tinggi yang direkodkan daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd berikutan faktor penghantaran yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, sebagai tindak balas kepada permintaan tenaga yang semakin meningkat, kumpulan itu bersedia membantu kerajaan dalam menjamin bekalan tenaga negara dengan mengoptimumkan kecekapan loji di samping memajukan inisiatif Tenaga Boleh Diperbaharui (RE). 

 

"Pada minggu ini, Prai Power Sdn Bhd (PPSB), anak syarikat Malakoff, telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi melanjutkan operasi loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCPP) 350MW, Loji Janakuasa Prai di Pulau Pinang, dengan penambahan operasi selama satu tahun bagi kemungkinan sambungan selanjutnya pada masa hadapan. 

 

"Dengan tarikh operasi komersial dijadual pada 1 September 2024, langkah ini memastikan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan negara yang semakin meningkat di samping meningkatkan keselamatan tenaga simpanan yang mencukupi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, pada Mei 2024, Malakoff melancarkan projek 2,100 MW Biomass Co-Firing di Loji Janakuasa Tanjung Bin, sebagai inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR). 

 

Sementara itu, Anwar Syahrin berkata, dalam segmen rumusan alam sekitar, Alam Flora baru-baru ini telah menerima Anugerah Pencapaian Khas dalam GIS (SAG) 2024 di San Diego, California, bagi projek Sistem Telematik M Flora. 

 

Beliau berkata, sistem itu merevolusikan pengurusan sisa di Malaysia dengan mengintegrasikan teknologi GIS, membolehkan data masa nyata dan pemantauan automatik. 

 

"Ia telah meningkatkan prestasi pengumpulan sisa sebanyak 96%, mengoptimumkan laluan, mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan serta memperoleh hasil untuk syarikat," katanya- DagangNews.com