KUALA LUMPUR 29 Ogos - Malayan Flour Mills Bhd (MFM) mencatatkan untung bersih sebanyak RM18.8 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) berbanding rugi bersih sebanyak RM1.96 juta yang dicatatkan bagi suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, keuntungan yang lebih baik itu disumbangkan peningkatan dalam segmen perdagangan tepung dan bijirin (FGT) khususnya di Malaysia dan Vietnam.
Walaupun pendapatan kumpulan menusut sedikit kepada RM751.9 juta berbanding RM752.7 juta setahun sebelumnya, Malayan Flour berkata, ia disebabkan pengurangan pendapatan dalam segmen lain, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan hasil dalam segmen FGT.
Pada suku tersebut, segmen FGT mencatat keuntungan bersih RM21.5 juta, mengatasi kerugian bersih RM1.3 juta pada suku yang sama tahun lepas.
"Prestasi kukuh itu didorong margin yang lebih baik disebabkan kos penggunaan gandum yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Segmen integrasi haiwan ternakan(PI), yang dikendalikan melalui usaha sama bersama Dinding Tyson Sdn Bhd, menunjukkan peningkatan pada suku tersebut, mencatatkan keuntungan bersih RM8.4 juta berbanding kerugian pada suku sebelumnya (1QFY24).
Kumpulan itu mengaitkan pemulihan suku tahun ke suku tahun kepada jumlah jualan yang lebih tinggi dan mengurangkan kos input manakala kerugian pada 1QFY24 disebabkan pemboikotan rantaian makanan segera yang dikaitkan dengan konflik geopolitik Asia Barat yang berterusan.
Timbalan Pengerusi Eksekutif MFM dan Pengarah Urusan, Teh Wee Chye berkata, walaupun berdepan cabaran krisis geopolitik, daging ayam terus menjadi pilihan popular di negara ini.
"Walaupun segmen FGT terus menunjukkan prestasi kukuh, memacu pertumbuhan 2QFY24, kami positif dengan peningkatan ketara dalam segmen PI berbanding suku sebelumnya.
"Kami menyedar jurang prestasi dalam segmen PI dan kami akan terus meneroka pasaran baharu bagi menjual ayam proses kami, di dalam dan luar negara, bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.
"Bagi segmen FGT, kami kekal fokus meningkatkan kecekapan dan penggunaan kapasiti kemudahan pengilangan tepung, memastikan bekalan bahan mentah yang boleh dipercayai dan operasi tanpa gangguan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tepung di Malaysia, Vietnam dan Indonesia,"katanya. - DagangNews.com