Malaysia Airlines lancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines lancarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Nov - Malaysia Airlines melancarkan penerbangan terus baharu dua kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Yogyakarta (YIA) bermula 2 November 2022.

 

Katanya, perkhidmatan baharu itu menandakan satu lagi kejayaan dalam strategi pengembangan rangkaian syarikat penerbangan itu, menjadikan rangkaian sedia ada syarikat penerbangan itu di Indonesia kepada enam bandar termasuk Jakarta, Denpasar, Surabaya, Medan dan Pekanbaru.

 

Syarikat penerbangan itu berkata, ia akan beroperasi dua kali seminggu bagi perkhidmatan itu iaitu pada Rabu dan Ahad, berlepas dari Kuala Lumpur dengan penerbangan MH857 pada 5:40 petang dan pulang dari Yogjakarta dengan MH856 pada 8:30 malam.

 

Penerbangan itu akan dikendalikan oleh pesawat B737-800, dilengkapi dengan 160 tempat duduk, terdiri daripada 16 tempat duduk dalam Kelas Perniagaan dan 144 tempat duduk dalam Kelas Ekonomi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail berkata, syarikat itu gembira untuk mengembangkan rangkaiannya bagi memenuhi keperluan pengembara perniagaan dan percutian, serta mengejar aspirasi mengukuhkan kedudukan di rantau ini.

 

Beliau berkata, penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta ini melengkapkan perkhidmatan semasa ke dan dari Indonesia, menyediakan penumpang dengan pilihan tambahan dan sambungan yang lebih lancar.

 

“Langkah itu akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan perniagaan dan perdagangan antara kedua-dua negara selain meletakkan syarikat penerbangan itu dalam kedudukan yang positif untuk mencapai lebih daripada 82% kapasiti pra pandemik.

 

"Operasi kami ke Indonesia adalah positif, dengan kapasiti semasa pada 70% daripada tahap pra pandemik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambang penerbangan pergi balik Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta bermula dari RM1,255.

 

Pelanggan yang menempah pakej Economy Lite akan menikmati bagasi kabin percuma sebanyak 7kg, snek/makanan dan minuman percuma, hiburan dalam penerbangan selain memperoleh Enrich Points untuk setiap perjalanan bagi setiap tempahan yang dibuat.

 

Pelanggan boleh memilih pakej Economy Flex Fare untuk menikmati faedah perjalanan yang ketara, termasuk perubahan tarikh tanpa had, bayaran balik, fleksibiliti Go Show, keutamaan daftar masuk, menaiki pesawat dan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35kg, semuanya tanpa bayaran tambahan yang dikenakan. - DagangNews.com