KUALA LUMPUR 24 Mac - Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Group mencatatkan pergerakan 8.3 juta pergerakan penumpang pada Februari 2023 dengan 3.9 juta adalah penumpang antarabangsa dan baki 4.4 juta adalah penumpang domestik.
Peningkatan itu didorong oleh musim cuti sekolah di Malaysia selain kekerapan penerbangan oleh syarikat penerbangan di Turkiye.
Di Malaysia, jumlah pergerakan penumpang yang direkodkan oleh lapangan terbang tempatan bagi Februari 2023 adalah 5.8 juta penumpang dengan purata pergerakan penumpang harian yang jauh lebih tinggi sebanyak lebih 3,480 penumpang berbanding Januari 2023.
Peningkatan sebanyak 4% berbanding bulan sebelumnya bagi purata pergerakan penumpang harian antarabangsa disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan penumpang bagi sektor Korea Selatan, China dan Jepun.
"Walaupun sektor China masih dalam fasa awal pemulihan, pergerakan penumpang untuk sektor itu meningkat sebanyak 61% pada Februari 2023 berbanding Januari.
"Pergerakan penumpang domestik juga positif berikutan cuti sekolah, dengan lebih daripada 112,000 purata penumpang harian, kira-kira purata paras penumpang harian yang sama yang dilihat pada Januari 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 2.5 juta pada Februari 2023.
Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.3 juta dan 1.2 juta penumpang.
Terdapat sedikit kelembapan dalam trafik harian keseluruhan dalam tempoh lima hingga enam hari pertama selepas gempa bumi melanda selatan dan tengah negara itu.
"Bagaimanapun, pergerakan penumpang meningkat dan mencapai pemulihan 92.9% berbanding purata penumpang harian sebelum gempa bumi untuk baki hari Februari.
"Pegasus Airlines juga telah menambah perkhidmatan baharu ke Plovdiv, Bulgaria dengan kekerapan dua kali seminggu mulai 18 Februari 2023," katanya. - DagangNews.com