Malaysia berkemungkinan terima akses vaksin COVID-19 dari China | DagangNews Skip to main content

Malaysia berkemungkinan terima akses vaksin COVID-19 dari China

KUALA LUMPUR 28 Julai - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tidak menolak kemungkinan bahawa Malaysia akan mendapat akses vaksin COVID-19 dari China.

Bagaimanapun, penerimaan itu bergantung kepada Kementerian Kesihatan sekiranya kementerian itu mendapati vaksin tersebut selamat dan berkesan untuk digunakan.

Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu adalah antara usaha yang dilakukan kerajaan ketika ini untuk membantu penghasilan vaksin menerusi jalinan diplomasi dan kolaborasi dengan negara-negara yang mempunyai matlamat serupa. 

 

khairy
Khairy Jamaluddin. - Gambar oleh Malay Mail

 

"Malaysia juga sedang berusaha untuk berbincang dengan pihak negara China berkenaan pembangunan vaksin oleh syarikat dan institusi dari negara itu. 

"Esok petang saya dijadual mengadakan sidang video bersama rakan sejawat saya di China berkenaan hal ini termasuk kemungkinan Malaysia mendapat akses kepada vaksin dari China sekiranya Kementerian Kesihatan mendapati ia sesuai, selamat dan berkesan untuk digunakan," kata Khairy kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai peranan MOSTI dalam membantu usaha pembangunan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia tidak mempunyai kemudahan bagi pembuatan vaksin.

Dalam ulasan yang sama, Khairy menjelaskan satu pasukan petugas telah ditubuhkan di bawah kerjasama MOSTI, KKM dan Kementerian Luar ada April lalu. 

Penubuhan berkenaan bertujuan meneroka peluang penyelidikan dan kerjasama strategik berhubung pembangunan vaksin serta perubatan COVID-19, antara Malaysia dan negara-negara lain.  

Jelas beliau, usaha itu membolehkan Malaysia mendapat akses kepada vaksin COVID-19 apabila berjaya dihasilkan, memandangkan negara buat masa ini tidak ada kemudahan pembuatan vaksin ke atas manusia.

Bukan itu sahaja, MOSTI terlibat dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI)  yang membolehkan negara mendapat akses kepada pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu kepada penyelidik tempatan.

"CEPI juga komited kepada pengagihan vaksin secara adil terbuka dengan kos yang sederhana untuk seluruh dunia,” katanya. - DagangNews.com