Malaysia berpotensi sebagai pemain industri dron utama dunia | DagangNews Skip to main content

Malaysia berpotensi sebagai pemain industri dron utama dunia

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Malaysia mempunyai potensi besar untuk menawarkan perkhidmatan dron di peringkat global memandang negara ini mempunyai banyak bakat untuk merealisasikan impian tersebut. 

Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Saifuddin Abdullah berkata, industri berkenaan dijangka mencecah RM267.4 bilion menjelang 2025.

Sehubungan itu, pelancaran dron ketepatan titik pertama, Oryctes yang direka khas untuk ladang minyak sawit menandakan tonggak penting buat negara.

“Inilah masanya untuk kita mengasah bakat untuk memodenkan penggunaan kaedah tradisional hari ini dalam industri utama seluruh dunia.

 

Saifuddin Abdullah
SAIFUDDIN ABDULLAH (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran dron Oryctes. - Gambar oleh Twitter Saifuddin Abdullah

 

“Saya berharap ini akan menjadi titik tolak bukan sahaja meningkatkan adaptasi teknologi dron di Malaysia, malah melonjakkan kemajuan teknologi baharu bagi memenuhi matlamat negara untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya pada majlis pelancaran tersebut hari ini. 

Oryctes dibangunkan oleh syarikat tempatan Poladrone dan namanya bersempena kumbang tanduk yang merupakan perosak utama dalam sektor minyak sawit. 

Oryctes dicipta untuk membasmi perosak pertanian yang diketahui menyebabkan kerosakan besar kepada pokok kelapa sawit muda dengan menyemburkan cecair racun perosak ke bahagian yang lemah.

 

Model dron
DUA model Oryctes yang diperkenalkan. - Gambar oleh poladrone.com

 

Malaysia mengalami kerugian kira-kira RM40.25 bilion atau 25% hasil minyak sawit akibat serangan perosak kumbang tanduk.

Oryctes didatangi dengan dua model yang menggunakan penentuan kedudukan kinematik masa nyata (real time).

Teknologi dron tersebut boleh menyembur antara dua hingga tiga hektar tanah pada setiap jam. - DagangNews.com