Malaysia menjadi negara lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai MADANI | DagangNews Skip to main content

Malaysia menjadi negara lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai MADANI

Oleh Mohamad Iman

SELURUH umat manusia merupakan satu keluarga besar yang berasal daripada pasangan Nabi Adam AS dan Hawwa’ AS. Hasil daripada itu, berkembang biaklah zuriat keturunan mereka ke seluruh pelusuk dunia yang membentuk pelbagai bangsa, budaya, warna kulit dan bahasa.

 

Kewujudan kepelbagaian dalam kalangan manusia juga bertujuan supaya manusia itu saling berkenalan antara satu sama lain dan saling melengkapi.

 

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

 

Dalam konteks negara kita, Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama.

 

Usaha ini memerlukan kepada visi mencorakkan masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan
mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

 

Enam Nilai Teras MADANI menjadi penekanan dalam memastikan visi dan misi Membangun Malaysia Madani tercapai iaitu; Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan.

 

 

parafrasa

 

 

Kerangka MADANI yang dicetuskan ini juga bermatlamat menjadikan Malaysia dapat dibina dengan kukuh dan stabil bersama-sama dengan meningkatnya kesejahteraan seluruh rakyatnya tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan latar yang lain.

 

Kemampanan dalam kerangka MADANI merujuk kepada kemajuan mutu kehidupan bangsa dalam acuan antara manusia dan alam, bernuansakan citra Malaysia yang unik.

 

Kemampanan ini juga mensyaratkan kesejahteraan dan keseimbangan dengan pengertian saling menghormati dan mengasihi sesama manusia, dan juga terhadap alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuhan.

 

Kesejahteraan pula mensasarkan kesejahteraan duniawi dan ukhrawi. Kesejahteraan juga merangkumi kesejahteraan negara melalui pertumbuhan ekonomi yang mampan dari satu sisi dan pada sisi yang lainnya juga turut menekankan kesuburan amalan kerohanian.

 

Negara yang berdaya cipta akan menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mampu merangsang kreativiti dan menggalakkan penghasilan produk, idea, sistem dan proses yang lebih maju.

 

Kerangka hormat memerlukan tumpuan khusus kepada maruah dan amalan saling menghormati, berdedikasi, memiliki nilai kesaksamaan dan berintegriti tinggi.

 

Keyakinan mempunyai kaitan yang sangat erat dengan amanah. Ia merupakan elemen terpenting yang lebih dari sekadar memelihara reputasi individu, malah menjadi perkara pokok dalam perjalanan kehidupan manusia sehari-hari bermula dalam lapangan perniagaan hinggalah kepada kehidupan bermasyarakat.

 

Ihsan sinonim dengan kepedulian dan belas kasihan. Dengan mengasihi orang lain akan mengukuhkan teras kepada sebuah visi Malaysia yang ihsan. Ia juga merujuk kepada tanggungjawab sosial yang menyeluruh dan berterusan.

 

Sikap saling menghormati antara satu sama lain perlu menjadi amalan yang berterusan bagi seluruh rakyat tanpa mengira status sosial dan latar belakang dalam memastikan kesejahteraan dan kestabilan negara terjamin setiap masa.

 

 

parafrasa

 

 

Dalam masa yang sama, Islam yang termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan perlu dihormati di samping kita
turut menghormati pegangan agama dan kepelbagaian kebudayaan yang terdapat di negara ini.

 

Jadilah warga negara yang bertanggungjawab dengan menjauhi sebarang bentuk provokasi yang bertujuan merosakkan hubungan kita. Dengan terbentuknya negara yang aman dan sejahtera, akhirnya akan mensejahterakan ekonomi, pendidikan, moral dan peradaban, serta mengharmonikan seluruh lapisan masyarakat.

 

Usaha membangun Malaysia Madani memerlukan tapak asas yang kukuh iaitu kerjasama dan perpaduan yang dijana dari peringkat akar umbi (rakyat) hinggalah kepada pucuk pimpinan.

 

Perbezaan yang wujud dalam kemajmukan masyarakat dan perbezaan latar belakang pendidikan perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya dalam menjana idea dan tenaga bagi memastikan kerangka yang disusun dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

 

Tanpa perpaduan, adalah sangat sukar untuk melaksanakan segala kerangka, visi dan misi yang diperkenalkan apatah lagi mencapai sebuah Malaysia Madani.

 

Justeru, sempena Minggu Perpaduan Tahun 2023 yang dijalankan sepanjang minggu ini (20-26 Mei 2023), marilah kita semua bersama-sama menggembeleng idea dan tenaga dengan mengenepikan perbezaan politik kepartian dan pendapat, menjayakan hasrat murni Kerajaan dalam Membangun Malaysia Madani.

 

Jika bukan kita sendiri yang sama-sama melaksanakannya, kepada siapa lagi yang hendak kita harapkan?

 

 

parafrasa

 

 

Berikut adalah rumusan untuk kita sama-sama fikirkan:

Pertama: Seluruh umat manusia dikatakan satu keluarga yang sangat besar yang berasal dari keturunan Nabi Adam AS dan Hawwa’ AS.

 

Kedua: Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama.

 

Ketiga: Kerangka MADANI yang dicetuskan memerlukan kepada komitmen dan usahasama seluruh anggota masyarakat yang perlu dimulai dengan mempertahankan perpaduan dan nilai-nilai murni yang lain. - DagangNews.com