KUALA LUMPUR 14 April - Malaysia berada di kedudukan kelapan ketibaan pelancong dari China setakat tahun ini, meskipun tidak berada dalam senarai 10 destinasi pilihan rakyat negara itu.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, Malaysia bukan destinasi pilihan utama pelancong China tetapi AirAsia Group amat popular di negara itu.
Katanya, perjalanan sebenar dari China ke Malaysia berada di tempat kelapan dalam senarai 10 destinasi berlepas keluar negara itu pada separuh pertama 2023 walaupun negara ini tidak menjadi 10 destinasi kegemaran mereka dalam mana-mana kaji selidik.
"Syarikat yang berpotensi menerima manfaat di bawah liputan kami adalah Capital A dan Malaysia Airports dalam sektor penerbangan serta Pavilion REIT dan KLCCP Stapled dalam sektor pengguna," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, China melakukan kejutan pada wal tahun ini dengan pengumuman pembukaan semula sempadan negaranya pada 8 Januari 2023 namun terdapat beberapa bukti menunjukkan bahawa aktiviti pelancongan keluar dari China adalah kurang memberangsangkan pada dua bulan pertama tahun ini disebabkan kekurangan kapasiti tempat duduk dan harga tambang yang tinggi.
Bagaimanapun, katanya, kapasiti tempat duduk pada Mac membayangkan bahawa pemulihan aktiviti pelancongan keluar dari China baru sahaja bermula.
Firma itu berkata, sebelum pandemik COVID-19, Thailand, Malaysia dan Singapura berada dalam senarai 10 destinasi pelancongan utama pelancong China.
Bagaimanapun, pasca COVID-19 menyaksikan hanya Thailand dan Singapura yang masih kekal dalam senarai 10 teratas, namun Malaysia terkeluar daripada senarai terbabit menurut kaji selidik oleh Dragon Trail International.
"Satu lagi kaji selidik oleh Qyer pula tidak menyeraikan Singapura dalam kedudukan 10 destinasi pelancongan paling digemari rakyat China sama sebelum atau pasca COVID-19.
"Malaysia juga terkeluar daripada senarai 10 destinasi kegemaran rakyat China menurut Qyer. Namun, ini tidak bermakna tinjauan yang suram bagi Malaysia," katanya.
Firma itu berkata, walaupun Malaysia tidak berada dalam senarai 10 destinasi kegemaran rakyat China dalam mana-mana kaji selidik, AirAsia Group berada di kedudukan pertama dalam kalangan 10 syarikat penerbangan paling banyak dilihat menerusi akaun WeChat.
"Lebih menarik, 62% tempahan penerbangan dari China ke Malaysia setakat ini dibuat pada saat-saat terakhir. Kami difahamkan bahawa AirAsia Group mungkin menawarkan tambang penerbangan murah ke Malaysia untuk merangsang perjalanan saat akhir," katanya. - DagangNews.com