Malaysia rekod perdagangan perkhidmatan RM433.2 bilion pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia rekod perdagangan perkhidmatan RM433.2 bilion pada 2023 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM433.2 bilion pada 2023, menyumbang 23.8% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada harga semasa, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Mohd Uzir Mahidin berkata, defisit dalam perdagangan perkhidmatan bertambah baik, defisit lebih rendah kepada RM43.2 bilion berbanding RM58.2 bilion pada 2022.

 

"Eksport perkhidmatan berkembang sebanyak 37.9% kepada RM195.0 bilion (2022: RM141.1 bilion). Sementara itu, import bilion berbanding tahun sebelumnya (2022: RM199.6 bilion)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, perjalanan yang merupakan penyumbang Utama kepada perdagangan perkhidmatan, ia masih dalam proses pemulihan untuk mencapai tahap sebelum pandemik.

 

Katanya, perjalanan pada 2023 mencatatkan lebihan sebanyak RM17.1 bilion selepas merekodkan defisit selama tiga tahun berturut-turut, disokong oleh perbelanjaan yang tinggi daripada pelancong asing di Malaysia. 

 

dosm

 

"Eksport perjalanan melonjak dengan signifikan kepada RM68 bilion pada 2023 berbanding RM28.7 bilion pada tahun sebelumnya," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, pengurangan defisit dalam perdagangan perkhidmatan juga didorong oleh pengangkutan yang merekodkan defisit yang lebih rendah RM31.4 bilion pada 2023 berbanding RM34.2 bilion pada 2022. 

 

Katanya, eksport pengangkutan melonjak kepada RM30.8 bilion berbanding RM26.6 bilion pada 2022, disumbangkan oleh pengangkutan udara dan laut. 

 

Begitu juga dengan import pengangkutan yang meningkat daripada RM60.8 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM62.3 bilion pada 2023, didominasi oleh aktiviti muatan.

 

Sementara itu beliau berkata, Singapura merupakan destinasi utama bagi eksport perkhidmatan Malaysia dengan nilai RM55.3 bilion berbanding RM37.5 bilion pada tahun sebelumnya, Amerika Syarikat (AS) merupakan negara kedua bagi destinasi eksport tertinggi dengan mencatatkan RM36.6 bilion diikuti China, merekodkan sebanyak RM12.9 bilion.

 

Pada masa sama, katanya, AS merupakan negara utama untuk import perkhidmatan dengan nilai sebanyak RM76.1 bilion pada 2023 terutamanya daripada perjalanan, perkhidmatan perniagaan lain dan pengangkutan.

 

“Ia diikuti oleh Singapura dengan nilai RM41.3 bilion dan United Kingdom dengan RM13.3 bilion. Secara keseluruhannya, pencapaian perdagangan perkhidmatan Malaysia pada 2023 menunjukkan perkembangan yang signifikan, seiring dengan trend global," katanya. - DagangNews.com