Malaysian Genomics meterai perjanjian kerjasama strategik untuk pengembangan di UAE | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics meterai perjanjian kerjasama strategik untuk pengembangan di UAE

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad hari ini memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik (SCA) yang menggariskan perkongsian untuk memasarkan dan mengedarkan rangkaian perkhidmatan pemeriksaan genetik Dtect di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Selain Malaysian Genomics, SCA itu melibatkan American Spine Centre (ASC); BALSAM Health Services (BALSAM); Wellness by Design FZ LLC (Wellness by Design) dan Sharjah, IAC International LLC (IAC).

 

Di dalam SCA itu, Malaysian Genomics, ASC, BALSAM dan Wellness by Design akan meneroka strategi umum untuk projek bersama atau bersekutu yang diterjemahkan kepada alat atau penyelesaian penjagaan kesihatan yang inovatif, manakala peranan IAC adalah untuk menyokong aktiviti dalam bidang keutamaan yang menyelaraskan pihak dan bekerjasama dengan organisasi lain di mana sesuai. 

 

IAC juga akan menjadi titik hubungan antara Malaysian Genomics dan ASC, BALSAM dan Wellness by Design.

 

Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Noor Azri Noor Azerai berkata, perjanjian itu membolehkan syarikat meneroka secara rasmi cara pihak berkenaan boleh bekerjasama, termasuk ujian teknikal dan penilaian ujian saringan Dtect untuk pengkomersilan di UAE. 

 

Katanya, peranan Malaysian Genomics adalah untuk menyediakan sokongan teknikal dan saintifik di dalam SCA. 

 

mgrc

 

"Di samping itu, kami sentiasa mencari peluang untuk bekerjasama dengan perniagaan dan organisasi yang berfikiran sama dalam mengembangkan jangkauan pasaran kami untuk Dtect dan perkhidmatan kami yang lain.

 

"Kami mempunyai kelebihan daya saing dari segi kos dan mempunyai makmal yang diperakui untuk menjalankan ujian saringan. Perjanjian ini juga merupakan peluang untuk kami mencari peluang dalam pasaran AS yang besar dan menguntungkan di mana ASC mempunyai pangkalan dan kehadiran sejak 1991,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengerusi ASC, BALSAM dan Wellness by Design, Dr. Hisham Hakim berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah pertama ini dalam hubungan kerja dengan Malaysian Genomics dan IAC dan menantikan kemasukan Dtect untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pesakit.

 

"Kami komited terhadap kecemerlangan klinikal dan teknologi kerana kami membawa penjagaan pesakit yang diselaraskan dengan belas kasihan dan komitmen sambil memastikan kecekapan kos,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Ejsekutif IAC, Nurul Faten Jasmee berkata, terdapat banyak peluang untuk pengembangan perkhidmatan pemeriksaan genetik di UAE dan rantau Asia Barat Afrika Utara yang lebih luas.

 

"Kami akan menyediakan penyelarasan, penyampaian perniagaan dan pengurusan projek antara pihak semasa ujian teknikal untuk Dtect di UAE, diikuti dengan pelancaran dan pengembangan komersial di seluruh wilayah itu," katanya. - DagangNews.com