KUALA LUMPUR 21 Feb - FGV Holdings Berhad (FGV) meluaskan kehadirannya di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) menerusi pelancaran produk Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG) iaitu marjerin Adela.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, pihaknya mengambil peluang itu untuk memperkenalkan marjerin Adela dan mempamerkan produk makanan berkualiti tinggi yang lain di persada antarabangsa.
"Sebagai sebuah syarikat makanan dan perniagaan agri terunggul di Malaysia, kami amat berbesar hati dapat menyertai Gulfood 2023 dalam skala yang lebih besar.
"Kami mahu mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi dan pelanggan global baharu terutamanya di rantau MENA bagi membolehkan kami terus mempromosi dan memasarkan produk baharu kami di rantau ini,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini selepas melancarkan produk berkenaan di Gulfood 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai dari 20 hingga 24 Februari 2023.
Menurut laporan Future Market Insights, pasaran marjerin global mencapai nilai AS$33 bilion pada 2022, dan pasaran dijangka mencecah AS$53.7 bilion menjelang 2032, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 4.9%.
Marjerin Adela merupakan marjerin serbaguna yang diperbuat daripada minyak sawit terbaik dan diperkaya dengan 9 vitamin, termasuk Omega 3, 6 dan 9 serta tanpa kolestrol.
Marjerin ini mempunyai rasa tersendiri dengan pelbagai kegunaan, menjadikannya pilihan ideal untuk membakar kek, pastri dan biskut serta sesuai dijadikan sapuan roti.
Produk itu didatangkan dalam pembungkusan bersih dan mudah guna dengan empat saiz berbeza iaitu 240gm, 480gm, 1kg dan 2.5kg.
Sementara itu, Ketua Bahagian Hiliran FGV, Zulkifli Othman berkata, MENA merupakan salah satu rantau terkuat FGV yang turut beroperasi di lebih 10 negara termasuk Asia, Asia Barat, Amerika Utara dan Eropah.
Katanya, ketika ini, produk untuk pasaran eksport FGV dipek dan dijual kepada pedagang dan pembeli antarabangsa.
"Pertumbuhan pasaran marjerin di MENA dijangka lebih kukuh dengan percambahan peluang pemasaran di pasaraya besar, kedai serbaneka dan e-peruncitan. Pelancaran marjerin Adela ini sekaligus akan memperkukuhkan kedudukan produk FGV yang lain di rantau ini,” katanya.
Pada majlis itu, FGV turut mempamerkan pelbagai produk berkualiti tinggi termasuk minyak masak, lelemak sayuran, ghee sayuran dan marjerin di bawah jenama Saji, Adela & Seri Pelangi serta produk keluaran segar di bawah jenama Ladang’57.
Penyertaan FGV dalam Gulfood 2023 adalah bukti komitmennya untuk memperkukuhkan kehadiran syarikat dalam pasaran makanan global sejajar dengan visinya untuk menjadi pengeluar makanan dan produk agri yang lestari. - DagangNews.com