KUALA LUMPUR 12 Nov - Malaysia Airlines akan menambah kekerapan penerbangan dan menggunakan pesawat A330 di beberapa laluan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bagi memastikan perjalanan yang lancar dan boleh dipercayai untuk pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Syarikat penerbangan itu berkata, mereka akan menambah penerbangan kepada 44 daripada 26, dan menaik taraf kepada 24 daripada 16 perkhidmatan domestik menggunakan pesawat A330.
Mereka yang pulang pada 19 November 2022 juga akan mendapat diskaun 20% sehala, tambang termasuk semua bermula pada RM104 melalui kempen "Jom Balik Mengundi" syarikat penerbangan itu untuk tempahan yang dibuat sebelum 19 November 2022, bagi perjalanan dari 11 November hingga 27 November 2022.
"Diskaun 20% terpakai kepada semua kategori tambang, termasuk Lite, Basic dan Flex untuk Kelas Ekonomi serta Basic dan Flex untuk Kelas Perniagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tempahan boleh dibuat di www.malaysiaairlines.com.
Syarikat penerbangan itu turut menggalakkan pelajar berumur antara 18 dan 26 tahun untuk mendaftar sebagai ahli MHexplorer untuk menikmati faedah perjalanan sepanjang tahun, termasuk diskaun sehingga 30% untuk penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly, elaun tambahan bagasi sebanyak 10kg, satu pertukaran tarikh percuma dan lain-lain faedah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail berkata, tempahan Malaysia Airlines telah melonjak sebanyak 7% berbanding purata hariannya, dengan hampir 70,000 tempahan penumpang sejak pelancaran "Jom Balik Mengundi" pada 20 Oktober 2022.
Syarikat penerbangan itu telah meningkatkan kapasiti sebanyak 30% ke destinasi domestik utama di Semenanjung Malaysia seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu serta Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com