KEKOSONGAN kerusi pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu diisi susulan peletakan jawatan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Mantan Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-19 itu melepaskan jawatan tersebut kuasa 8 Februari yang mana perkara itu hanya dimaklumkan oleh pihak LTAT menerusi satu kenyataan media.
Peletakan jawatan Raja Mohamed Affandi ini berselang seminggu selepas pengunduran Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.
Minggu lalu Lembaga Pengarah LTAT mengumumkan pengunduran Ahmad Nazim berkuat kuasa 31 Mac.
Difahamkan kontrak Raja Mohamed Affandi sebagai Pengerusi LTAT sepatutnya berakhir pada Ogos ini iaitu setelah tiga tahun dilantik memegang jawatan tersebut.
Mengikut amalan sebelumnya, kontrak jawatan ini sama ada disambung atau penyandangnya boleh memilih untuk mengundur diri.
Dalam kenyataan LTAT sebelum ini, tempoh perkhidmatan Raja Mohamed Affandi bermula 2021 ditandai komitmen tidak berbelah bahagi dalam mengukuhkan tadbir urus korporat dana persaraan angkatan tentera itu.
Di bawah kepimpinan beliau, LTAT memulakan Garis Panduan & Dasar Risiko Pelaburan, kayu ukur penting yang menjamin perlindungan pelaburan LTAT sambil mengoptimumkan profil pulangan-risiko.
Berikutan pelepasan jawatan orang nombor satu LTAT ini, persoalannya siapakah yang bakal dilantik untuk menduduki kerusi berkenaan.
Sekiranya mengikut pada lantikan sebelum ini, jawatan Pengerusi LTAT kebiasaannya diisi oleh bekas PAT.
LTAT yang ditubuhkan pada Ogos 1972 sebagai badan berkanun di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 sebagai organisasi dana pencen untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi maksud tersebut, LTAT meneroka pelbagai cabang perniagaan dan sektor korporat.
Raja Mohamed Affandi dilantik memegang jawatan tersebut pada 3 Ogos 2021 menggantikan Jeneral (B) Datuk Seri DiRaja Mohd. Zahidi Zainuddin.
Mohd. Zahidi pula yang menerajui LTAT sejak Ogos 2018 menggantikan Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Beliau dilantik sebagai Panglima ATM pada Januari 1999 sehingga April 2005 sebelum menyertai bidang korporat.
Mohd Anwar yang menjadi Pengerusi LTAT sejak tahun 2005 setelah bersara pada 2007 merupakan Panglima ATM pertama yang dilantik daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sepertimana diketahui umum, Boustead Holdings Berhad adalah cabang pelaburan kepada LTAT yang mana kumpulan perniagaan ini mempunyai lebih daripada 90 buah anak syarikat, syarikat bersekutu dan usahasama.
Pada Mac tahun lalu, LTAT mencacatkan prestasi baik apabila mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022.
Kadar dividen pada 2022 juga merupakan kenaikan bagi lima tahun berturut-turut sejak 2018.
Selain itu, LTAT juga merupakan pemilik tiga buah perbadanan yang mempunyai kaitan langsung dengan warga ATM.
Antaranya Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang mengendalikan rangkaian kedai-kedai runcit di kem-kem tentera sejak 1983.
Seterusnya Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) yang menjalankan aktiviti hartanah sejak 1984 dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang ditubuhkan pada 1994.
PERHEBAT merupakan penyedia pelbagai program latihan kemahiran teknikal, vokasional dan keusahawanan untuk anggota ATM.
Jika mengintai pada mantan PAT, tiga nama berpotensi untuk dilantik menerajui entiti tersebut.
Mereka ialah Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin selaku PAT Ke-18, Jeneral Tan Zulkifli Zainal Abidin (PAT 20) dan Jen (B) Tan Sri Affendi Buang (PAT 21).
Zulkifeli Mohd Zin ketika ini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia setelah dilantik pada Julai 2022 dan Pengerusi PERHEBAT.
Beliau juga pernah menjawat sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara pertama pada Ogos 2016 hingga Jun 2018.
Manakala Zulkifli Zainal Abidin pula merupakan Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Pada November lalu, penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, G Capital Berhad telah melantik Affendi sebagai pengerusi eksekutifnya.
Sehubungan itu, calon yang bakal dilantik untuk menerajui LTAT nanti sudah pasti individu yang mempunyai kebolehan menepati kehendak entiti korporat tersebut.
Atau tiba masanya untuk LTAT keluar daripada kebiasaan melantik jeneral, sebaliknya memilih ahli korporat untuk menerajui syarikat komersial ini. - DagangNews.com