Mastercard, ATX Fintech jalin kerjasama lancar Mastercard Bill Pay, platform pengurusan bil | DagangNews Skip to main content

Mastercard, ATX Fintech jalin kerjasama lancar Mastercard Bill Pay, platform pengurusan bil

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jan - Malaysia merupakan negara pertama di Asia Pasifik melancarkan Mastercard Bill Pay iaitu alat pengurusan bil baharu yang menggabungkan pembentangan bil elektronik dan pembayaran di satu tempat.

 

Pelancaran itu menyaksikan Mastercard dengan kerjasama ATX Fintech Holdings Sdn. Bhd dan ia tersedia kepada pengguna melalui dompet digital ATX GoPay dan platform pembayaran dalam talian berasaskan web, PayHub2U.

 

Pengurus negara Mastercard untuk Malaysia dan Brunei, Beena Pothen berkata, perkongsian dengan ATX mengenai penyelesaian pembayaran bil yang mengutamakan mudah alih adalah tepat pada masanya.

 

“Lebih AS$25 bilion (RM109 bilion) dalam jumlah pembayaran bil merentas satu bilion bil dibayar setiap tahun di Malaysia dan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan e-pembayaran untuk bil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, hanya 50% daripadanya didigitalkan dan Mastercard memainkan peranan untuk menyokong inisiatif kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat pembayaran secara digital.

 

"Ia merupakan matlamat utama kami dalam melancarkan Mastercard Bill Pay di pasaran dengan pengguna akan diingatkan tentang bil dan membuat pembayaran menggunakan satu log masuk," katanya.

 

Alat pengurusan bil itu membolehkan pengguna melihat dan menyatukan semua bil mereka dan pembayaran boleh dibuat daripada pelbagai pilihan yang tersedia, termasuk memautkan akaun bank mereka dan menyimpan bukti kelayakan kad mereka.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ATX, Sashi Kumar berkata, Mastercard Bill Pay akan memberikan kecekapan, ketelusan, kelajuan dan kemudaha yang lebih besar untuk pengguna.

 

"Dengan menyediakan pelbagai pilihan pembayaran dan komunikasi masa nyata, ia akan memberikan pengguna pengalaman yang lebih baik dan juga memupuk kesetiaan," katanya.

 

Beliau berkata, syarikat fintech itu telah berintegrasi dengan 13 syarikat dan berminat untuk mengembangkan rangkaiannya melalui lebih banyak perkongsian dalam beberapa bulan akan datang untuk menyediakan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pengguna. - DagangNews.com