KUALA LUMPUR 13 April - Matrix Parking Solutions Holdings Berhad sedang meneroka kerjasama dengan Managepay Systems Berhad dan Netton Resources Sdn. Bhd. untuk pengurusan sistem pembayaran tanpa tunai di acara Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) 2023.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata, pihak berkenaan juga merancang untuk membentuk usaha sama untuk melancarkan aplikasi teknologi kewangan berkaitan automobil berasaskan mudah alih di Malaysia selain menceburi perniagaan automotif baharu seperti pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan ekosistem penyusunan acara.
"Di bawah terma memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, MPay akan mereka bentuk dan membangunkan aplikasi super untuk kerjasama itu dengan menggunakan blok bangunan fintech," katanya.
Sementara itu, Matrix dan Netton akan menyediakan semua tapak semasa dan masa hadapan yang tersedia yang diuruskan oleh Matrix untuk pelaksanaan aplikasi super dan mengurus operasi apabila penggunaan aplikasi super berjaya.
Matrix dan Netton juga akan melibatkan diri dengan pembekal untuk menyediakan antara muka perkakasan dan pengaturcaraan aplikasi untuk menggabungkan ciri seperti sistem Pengenalan Plat Lesen (LPR), pengecas EV, kunci tempat letak kereta dan sistem tempahan ke dalam aplikasi super.
Bagaimanapun, perjanjian itu tidak akan memberi sebarang kesan ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, dan modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham pemegang saham yang besar.
Faktor risiko yang terlibat dalam perjanjian pada ketika ini adalah minimum dan sekiranya MPay memeterai perjanjian muktamad, pengurusan syarikat akan berhati-hati dalam mempertimbangkan risiko dan faedah yang berkaitan. - DagangNews.com