KUALA LUMPUR 14 Sept - Maxis Berhad bekerjasama dengan rakan kongsi 5G Alliance untuk mencipta dan mengkomersialkan penggunaan 5G dan penyelesaian Internet Kebendaan (IoT) merentas industri di Malaysia dan Asia Pasifik.
Sejak dilancarkan pada Jun 2022, Maxis 5G Alliance berjaya mengekalkan momentum dan meraih rakan kongsi baharu, iaitu Gamuda Land, Garuda Robotics, ITXOTIC, LinkUp Smart Solutions, Nokia, NVIDIA dan ZTE, menjadikan jumlah seramai 23 ahli.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, komuniti 5G Alliance dijangka terus berkembang kerana ia bertujuan untuk menjadi kerjasama terbuka merentas semua organisasi untuk mempercepatkan penerimaan dan penggunaan inovasi.
"Ahli akan mendapat manfaat daripada ekosistem ini di mana kerjasama dan inisiatif mereka boleh memupuk inovasi dan memberi nilai kepada IR4.0 merentas sektor ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara inisiatif itu adalah acara maya GSMA APAC – Ekosistem 5G: Membuka peluang melalui perkongsian strategik - yang akan diadakan pada 20 September 2022.
Maxis merupakan rakan kongsi utama untuk acara itu dan akan menghimpunkan pemimpin teknologi sertaindustri untuk memacu inovasi, perkongsian, dasar dan ekosistem.
Dengan Asia-Pasifik sebagai pasaran yang luas dengan peluang besar, acara itu bertujuan untuk mencari sokongan serantau bagi mendidik industri dan mengukuhkan ekosistem melalui kerjasama dan khidmat nasihat.
Sementara itu, Maxis dan rakan kongsi Alliance Omron mempamerkan Robot Mudah Alih Autonomi yang dikuasakan oleh rangkaian generasi akan datang Maxis, membolehkan kilang beroperasi 24/7 dengan masa henti sifar, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keselamatan dan produktiviti bagi pengeluar.
Dalam pada itu, Maxis, Huawei dan Mimos Berhad adalah penggunaan industri yang didayakan oleh 5G, IoT, dan Kecerdasan Buatan (AI) di Hab Inovasi 5G dan AI di kampus Mimos.
Hab ini berfungsi sebagai tempat ujian ciptaan bersama untuk penyelidikan dan pembangunan dan inkubator untuk penyelesaian inovatif, membolehkan perniagaan mengakses infrastruktur dan kemudahan yang dikuasakan oleh teknologi canggih. - DagangNews.com