Maxis, Kerajaan Pulau Pinang bangunkan kemahiran digital dan Pendidikan STEM melalui Maxis eKelas | DagangNews Skip to main content

Maxis, Kerajaan Pulau Pinang bangunkan kemahiran digital dan Pendidikan STEM melalui Maxis eKelas

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Maxis akan bekerjasama untuk menyokong pembangunan kemahiran digital dan pembelajaran digital di negeri Pulau Pinang.

 

Kerjasama tersebut telah dimeterai hari ini di sebuah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang dan Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi Negeri.

 

Maxis telah memeterai sebuah MoU dengan Digital Penang untuk mendorong penerimagunaan digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri tersebut.

 

Goh Seow Eng, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis berkata, “kami boleh bersama-sama memupuk para usahawan dan belia yang bersedia untuk masa hadapan dan mampu berkembang maju dalam ekonomi digital hari esok.”

 

Di bawah kerjasama ini, Maxis akan menyediakan latihan kemahiran pemasaran digital untuk golongan usahawan dan belia di Pulau Pinang. Di samping itu, Maxis akan memperluaskan capaian sumber pembelajaran digital dalam kalangan para pelajar dan guru di sekolah-sekolah Pulau Pinang.

 

Inisiatif-inisiatif ini akan disampaikan melalui program-program komuniti utama Maxis, eKelas dan eKelas Usahawan.

 

Maxis ekelas Usahawanan ialah program dengan prestasi yang terbukti, melatih hampir 7,000 usahawan sejak 2021. Program ini menyediakan bengkel pemasaran digital percuma untuk melatih usahawan dan belia tentang strategi pemasaran digital, perancangan kempen, fotografi, reka bentuk grafik, penggunaan AI generatif dan penulisan pemasaran.

 

Maxis eKelas Usahawan telah mencapai lebih daripada 440 usahawan di Pulau Pinang.

 

Maxis ekelas ialah sebuah program pembelajaran digital selepas sekolah yang disediakan secara percuma untuk pelajar dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5.

 

Program ini menawarkan kandungan pendidikan yang menarik sejajar dengan sukatan pelajaran Malaysia kepada pelajar di seluruh negara, termasuk pelajar dari komuniti luar bandar. Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan salah satu daripada bidang tumpuannya.

 

Sebagai sebuah program yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan, Maxis eKelas secara rasmi menjadi sebahagian daripada portal pembelajaran digital DELIMa oleh pihak Kementerian tahun lepas, memperluaskan lagi kebolehcapaiannya untuk semua pelajar dan guru di seluruh negara.

 

Maxis bekerjasama rapat dengan Jabatan-Jabatan Pendidikan Negeri untuk menjalankan taklimat di sekolah-sekolah. Maxis eKelas telah mencapai pertumbuhan yang berterusan dengan jumlah pengguna berdaftar melebihi 120,000 orang setakat kini, termasuk 3,700 pengguna dari Pulau Pinang.  - DagangNews.com