Jati Tinggi raih subkontrak kerja kabel bawah tanah bernilai RM20 juta | DagangNews Skip to main content

Jati Tinggi raih subkontrak kerja kabel bawah tanah bernilai RM20 juta

Gambar Jati Tinggi Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - Jati Tinggi Group Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya meraih subkontrak kerja-kerja berkaitan pemasangan kabel bawah tanah daripada Worktime Engineering Sdn Bhd bernilai RM20.05 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, surat anugerah (LOA) daripada Worktime Engineering itu diterima anak syarikat miliknya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd pada 2 Julai 2024.

 

"Jenis kontrak ini adalah untuk mememasang kabel bawah tanah 33 kilovolt (kV) dan aksesori di kawasan selatan Malaysia.

 

"Skop kerja akan merangkumi pemasangan kabel tenaga, kabel optik gentian, kerja-kerja penyambungan dan penamat berserta semua kerja-kerja sampingan," katanya.

 

Menurut Jati Tinggi, kontrak akan bermula pada 25 Julai 2024 dan tempoh kontrak berlangsung selama tempoh 24 bulan.

 

"Surat tawaran yang diterima dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan, pendapatan bersih setiap saham dan aset bersih setiap saham Syarikat sepanjang tempoh Kontrak. 

 

"Surat tawaran ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama Syarikat," jelasnya.- DagangNews.com